Halaman

12 April 2011

Sepuluh pelajar cemerlang dibiayai RM1.5 juta

Oleh: Aida Abd Rahman


Daripada 405 pelajar cemerlang SPM 2010 hanya 10 daripada mereka bakal menikmati skim Pelajar Cemerlang bgi meneruskan pengajian mereka ke empat universiti luar negara yang sudah dikenal pasti. - Foto: Harish Fadzillah.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta menerusi Skim Pelajar Cemerlang bagi memastikan setiap pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 dapat meneruskan pengajian mereka ke empat universiti luar negara yang sudah dikenal pasti.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata daripada 405 pelajar cemerlang SPM 2010 hanya 10 daripada mereka bakal menikmati skim itu bagi membuat kursus persediaan A Level dan mengikuti kursus perubatan yang ditawarkan pihak universiti berkenaan.
Katanya, pada tahun ini Kerajaan Terengganu mengambil keputusan menghantar pelajar lepasan SPM ke Universiti Charles di Republik Czech, Kolej Pakar Bedah Diraja Ireland (RCSI), Kolej Universiti Dublin di United Kingdom dan Universiti McGill di Kanada.

“Pelajar yang terpilih ini perlu menjalani kursus persediaan A Level terlebih dahulu dan kerajaan negeri akan menaja sepenuhnya sebelum meneruskan pengajian mereka di empat universiti ini pada tahun depan,” kata beliau pada Perasmian Taklimat Persediaan menghadapi Temuduga ke IPT Lepasan SPM 2010 Daerah Kuala Terengganu Utara, di Sekolah Menengah kebangsaan Ibrahim Fikri, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Katanya, kuota kemasukan ke Universiti Charles seramai 50 orang, lima pelajar di Universiti McGill, manakala 50 pelajar ditawarkan mengikuti program berkembar dengan RCSI dengan tempoh pengajian tiga tahun dalam negara dan tiga tahun lagi di Ireland.

Haji Ahmad Razif sebelum itu menyampaikan anugerah kepada 33 pelajar cemerlang SPM 2010 bagi daerah Kuala Terengganu Utara yang mendapat keseluruhan A dalam semua mata pelajaran.