Halaman

04 April 2011

Penjawat awam perlu belajar sepanjang hayat – SUK

Oleh: Kamarudin Mat Akib


SUK, Dato' Mazlan Ngah bersalaman dengan peserta Kursus Pemantapan Kepimpinan Awam Negeri Terengganu, Persekutuan dan GLC di Wisma Darul Iman. - Foto: Harish Fadzillah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, mengingatkan penjawat awam supaya mengamalkan konsep belajar sepanjang hayat bagi memperbaiki mutu perkhidmatan awam dan meningkatkan perkhidmatan berkualiti.

Justeru itu, katanya, pelbagai seminar yang dianjurkan kerajaan amat penting kepada mereka serta pengurus-pengurus Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC ), bagi mencetuskan semangat patriotik dan jati diri agar cintakan agama, bangsa dan negara yang semakin terhakis.

”Moga kita tidak lupa kepada pejuang-pejuang bangsa sebelum dan selepas kemerdekaan seperti Pahlawan Mat Kilau, Dato’ Bahaman dan lain-lain lagi serta kepada mantan Perdana Menteri terdahulu iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Dato’ Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, sehinggalah kepada pemimpin sekarang iaitu YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Pemantapan Kepimpinan Awam Negeri Terengganu, Persekutuan dan GLC di Wisma Darul Iman, hari ini.



Ketua-ketua jabatan agensi negeri dan Persekutuan serta penjawat awam menghadiri kursus tersebut.

Dato’ Mazlan berkata, pemimpin terdahulu banyak menyumbang jasa kepada tanah air dan tidak boleh dilupakan begitu sahaja.

”Saya juga mengharapkan dengan adanya seminar sebegini, pegawai-pegawai dan penjawat awam Negeri, persekutuan serta pemimpin-pemimpin di GLC akan terus berusaha dengan lebih gigih, rajin bekerja serta sentiasa menyokong dasar dan polisi yang digubal oleh pihak Kerajaan Negeri dan juga Persekutuan.



”Sebagai contoh, penjawat awam dan pengurus-pengurus GLC di Terengganu perlu menghayati apa yang dikatakan gagasan ”Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Terengganu (MPPT),” katanya.

Beliau berkata, teras atau nilai dalam gagasan tersebut perlu dihayati oleh penjawat-penjawat awam dan pengurus-pengurus GLC kerana ianya berteraskan cakna rakyat dan berteraskan kepada tanggungjawab untuk memudahkan segala urusan rakyat dengan kerajaan.