Halaman

29 April 2011

Penduduk Terengganu tidak sabar tunggu PM

Oleh: Suriati Ali

Hanya tinggal beberapa jam lagi penduduk Terengganu terutama yang tinggal di kawasan Parlimen Kuala Nerus dan Hulu Terengganu akan menerima kunjungan pemimpin utama negara, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sempena Program Turun Padang (PTP), esok (30 April).

Mereka tidak sabar-sabar menanti ketibaan yang dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud kira-kira jam 8.45 pagi sebelum meneruskan lawatan ke beberapa lokasi seperti Pasar Batu Enam, Kampung Pengkalan Arang, Bukit Tunggal, Manir, Pulau Duyung dan Taman Syahbandar.

Lawatan bermaklumat itu nyata memberi kesan mendalam kepada penduduk berikutan Dato’ Sri Mohd Najib akan bertemu lebih 40,000 penduduk Terengganu, melawat penduduk yang uzur, merasmikan pasar dan sebagainya.

Tinjauan pemberita Teganukita di sepanjang Jambatan Sultan Mahmud, jalan utama ke Pulau Duyong, jalan Manir dan beberapa lagi jalan utama dan jalan kampung yang bakal dilalui Perdana Menteri mendapati ratusan bendera Umno dan Barisan Nasional sudah dipasang urusetia dan petugas program, sejak malam Rabu lalu (27 April).

Situasi itu cukup meriah dan paling menariknya, ia seolah-olah suasana Pilihan Raya Kecil atau Pilihan Raya Umum.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata lebih 40,000 penduduk dijangka terlibat dalam lawatan PTP melibatkan enam lokasi.

Katanya, kerajaan Terengganu berharap Perdana Menteri akan mengumumkan berita gembira dan istimewa untuk rakyat Terengganu sama ada berkaitan pembangunan mahupun sebarang bentuk bantuan sempena lawatan itu nanti.

“Terengganu bersama Kerajaan Pusat sentiasa menjalin hubungan baik dan setakat ini kita masih lagi menerima peruntukan dalam bentuk geran dan beberapa bantuan lain,” katanya.