Halaman

09 April 2011

Pencapaian luar biasa anak Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Pencapaian anak Terengganu dalam pelajaran amat luar biasa, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dalam satu majlis di Kampung Kubang Badak, Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau meluahkan demikian berasaskan kepada banyak perkembangan positif yang berlaku dalam bidang pelajaran terutama prestasi peperiksaan awam negeri sejak kebelakangan ini.
Selain muncul negeri terbaik sepuluh kali berturut-turut dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah, kejuaraan kali ketiga berturut-turut dalam Penilaian Menengah Rendah, Terengganu juga negeri paling cemerlang peringkat nasional dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

Bukan hanya pencapaian di peringkat sekolah, anak Terengganu yang belajar di pusat pengajian tinggi juga mencatat prestasi yang amat baik khususnya dalam Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) pada tahun akhir pengajian mereka.

“Sebagaimana kebiasaan, sejak beberapa tahun lalu, saya akan menemui pelajar anak Terengganu di universiti seluruh negara. Baru-baru ini, saya mahu ke Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) untuk menemui anak Terengganu yang berjaya mendapat (PNGK) 3.5 ke atas dan menyampaikan insentif atas kejayaan mereka dengan memberikan RM500 seorang.

“Bagaimanapun, hasrat saya tidak dapat ditunaikan memandangkan pencapaian luar biasa pelajar kita. Lebih 400 pelajar Terengganu di UPSI merekod keputusan PNGK 3.5 ke atas.Saya langsung tidak menduga jumlah yang begitu ramai memandangkan sasaran kita mungkin hanya puluhan pelajar sahaja,” katanya.

Beliau berkata, perancangan menemui pelajar dan menyampaikan wang cenderahati itu terpaksa ditangguh terlebih dahulu memandangkan wang yang diperuntukkan kepada pelajar berkenaan tidak mencukupi kerana ia jauh daripada jangkauan dan kelaziman.
Haji Razif kemudiannya mengambil keputusan memberikan wang cenderahati itu kepada pelajar yang berjaya mendapat PNGK 3.75 ke atas.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi terpaksa menukar hasrat itu selepas mendapat maklumat bahawa jumlah pelajar yang berjaya mendapat CGPA 3.75 ke atas berjumlah lebih 200 orang dan masih di luar sasaran asal.

Akhirnya, beliau membuat keputusan kesemua pelajar yang berjaya mendapat CGPA 3.75 ke atas itu menerima RM100 seorang bagi memastikan lebiih ramai pelajar mendapat `wang poket’ berkenaan.

“Matlamat utama saya bukan menyampaikan wang itu dan jumlahnya memang tidak seberapa berbanding kejayaan mereka.

“Apa yang lebih penting, tujuannya adalah menemui dan beramah mesra dengan mereka, selain memberi suntikan semangat supaya mereka sentiasa berada di landasan yang betul, sebagai pemimpin juga kita mahu apabila tamat pelajar kelak, mereka akan menjadi orang berguna dan berjasa kepada keluarga serta negeri,” katanya.