Halaman

22 April 2011

Pasar baru, bonus tidak ternilai bagi peniaga dan penduduk

Oleh: Suriati Ali

Hasrat kerajaan membina pasar baru bagi menggantikan Pasar Bukit Tunggal atau lebih dikenali masyarakat setempat sebagai pasar `koboi’ sangat dinanti-nantikan penduduk terutama peniaga di kawasan itu.

Lebih 30 tahun mereka menunggu kemudahan itu dan berita yang bakal diumumkan Perdana Menteri sewaktu lawatan kerja pada 30 April nanti bagaikan satu bonus paling istimewa dan cukup berharga.

Apabila wujudnya pasar itu kelak, mereka tidak perlu lagi berdepan dengan risiko kemalangan kerana pasar sedia ada terletak hanya lima meter dari jalan raya selain kedudukan gerai yang disewa dengan pemilik persendirian itu tidak tersusun.

Seorang peniaga, Nailah Che Wook, 51, berkata dia sangat berterima kasih sekiranya berita untuk menerima pasar baru menjadi kenyataan kerana sudah 30 tahun dia mengimpikannya.

“Pasar yang ada sekarang sudah tidak sesuai kerana bukan sahaja berdekatan dengan jalan raya malah tidak menampakkan pasar seperti yang terdapat di tempat lain,” katanya.

Peniaga sayuran Zaleha Mamat, 45, dia antara belasan peniaga yang paling gembira ketika mendengar berita mengenai pembinaan pasar baru.

Katannya, dia mengharapkan pasar itu benar-benar wujud kerana dia dan rakan niaga lain cukup terdesak ingin pasar yang lebih selesa.

“Peniaga di pasar ini tidak mahukan pasar yang besar dan gah seperti ditempatkan lain, cukup sekadar dengan bangunan yang sederhana dan selesa untuk kami berurusniaga,” katanya.

Peniaga ikan dan daging, Encik Jaafar Wook, 57, berkata dia sangat mengharapkan pihak berkaitan mengutamakan peniaga tempatan sebagai penama di pasar yang bakal di bina itu.

Katanya, sekiranya mempunyai lebihan ruang dan sudah tiada permintaan daripada penduduk tempatan, barulah diberi tawaran kepada penduduk luar untuk berniaga.