Halaman

26 April 2011

MBNT sasar wujud 1,000 pertubuhan belia

Oleh: Suriati Ali



Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) mensasarkan untuk mewujudkan 1,000 pertubuhan belia di seluruh negeri ini pada tahun ini.

Pengerusinya, Encik Mat Yusof Mat Ali, berkata ia akan digerakkan melalui pendekatan satu kampung satu pertubuhan belia dengan menarik penglibatan golongan muda dalam kepimpinan dan kegiatan sukarelawan.

“MBNT akan turut membantu memperkasakan semula sebahagian daripada 324 pertubuhan sedia ada selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai generasi muda aktif berpersatuan.

“Pertubuhan yang diwujudkan kelak bakal menaungi warga belia yang berumur antara 15 hingga 40 tahun di setiap kampung dengan pelbagai pengisian yang mampu meningkatkan potensi diri mereka.

“Penubuhan ini penting bagi membolehkan peruntukan daripada kerajaan mahupun pihak swasta dapat disalurkan terus kepada golongan sasar bagi menjayakan pelbagai aktiviti yang dianjurkan,” katanya.

Encik Mat Yusof berkata, Terengganu mempunyai beberapa pertubuhan yang boleh dijadikan model kepada pemimpin belia dalam mencapai keberkesanan kepimpinan agar setiap badan yang diasaskan mempunyai hala tuju yang jelas.

“Sebagai contoh, pertubuhan belia MAYC Teluk Ketapang, Seberang Takir boleh dijadikan garis panduan dalam kepimpinan belia kerana badan itu telah menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Perdana Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan sempena Hari Belia.

“Persatuan Rangkaian Pemuda Pemudi Rawai (RAPERA), Marang yang telah beberapa kali mendapat anugerah di peringkat negeri mahupun kebangsaan iaitu pada 1998, 2005 dan 2008 juga perlu dicontohi,” ujarnya.