Halaman

05 April 2011

MB teruskan tradisi turun padang

Oleh: Suriati Ali dan Hazwan Roslee

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meneruskan amalan `turun padang’ apabila memilih untuk melawat beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, baru-baru ini bagi mendekati dan menyelami masalah penduduk setempat.

Turut menyertai Program Lawatan Sehari Mesra Rakyat DUN Sura itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau Abang, Datuk Haji Za’abar Mohd Adib; Pegawai Pembangunan DUN Sura, Datuk Rosli Mat Hassan dan beberapa pemimpin tempatan.

Dato’ Seri Haji Ahmad sempat meninjau keadaan persisiran Pantai Teluk Lipat yang terhakis, merasmikan Pejabat Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Dungun dan memberi sumbangan atap biru kepada seorang penduduk Kampung Nibong.

Sebagai tanda keprihatinan dan pemimpin cakna rakyat, beliau turut meluangkan masa melawat penduduk yang uzur dan menghulur sedikit sumbangan.

Dalam tinjauan di Pantai Teluk Lipat, Menteri Besar meluluskan peruntukan RM1.5 juta bagi membina benteng penahan ombak.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersetuju membina tiga lagi benteng berkenaan sebagai tambahan kepada dua benteng sedia ada yang setiap satu bernilai RM500,000 setiap satu.

Sebahagian besar pantai kini semakin teruk diancam hakisan dan pembinaan benteng itu merupakan langkah sementara memandangkan kos untuk membina benteng pemecah ombak kekal memerlukan kos kira-kira RM150 juta.

“Langkah berkenaan adalah bagi menangani segera hakisan yang berlaku sementara menunggu permohonan yang dibuat kepada Kerajaan Pusat bagi membina benteng tersebut,” katanya.

Sewaktu merasmikan bangunan milik JKR, Dato’ Seri Haji Ahmad meminta kakitangan kerajaan supaya tidak menjadi `duri dalam daging’ dan tidak pernah berterima kasih serta bersyukur di atas apa yang dilakukan kerajaan.

Beiau berkata, mereka sepatutnya berusaha keras membantu kerajaan melaksanakan semua agenda pembangunan yang dirancang dan bukannya bertindak ‘menikam’ kerajaan dari belakang dan menghasut rakyat.

“Sepatutnya mereka dapat memberikan khidmat yang terbaik bagi membantu rakyat menyelesaikan setiap masalah yang ada sekaligus dapat menguatkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan,” katanya.

Dato’ Ahmad juga berkata, terdapat segelintir kakitangan kerajaan bertindak mensabotaj agenda pembangunan yang dirancang kerajaan dan sekiranya mereka ini tidak berpuas hati serta menjadi ‘gunting dalam lipatan’, mereka perlu meletak jawatan.