Halaman

28 April 2011

MB tegur sikap penjawat awam hentam kerajaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menegur sikap sesetengah penjawat awam di negeri ini yang sanggup menghentam kerajaan hanya kerana alasan yang remeh-temeh.

Malah, beliau berkata ada penjawat awam yang sanggup menyokong parti pembangkang kerana marah kepada kerajaan sebab mereka ditukar tempat kerja atau permintaan kecil tidak dipenuhi pemimpin kerajaan.

“Masalah ditukar tempat kerja atau bertukar jabatan sebenarnya perkara biasa kerana sebelum diambil bekerja setiap penjawat awam membuat akujanji taat setia dan patuh kepada semua arahan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perjumpaan YAB Menteri Besar dengan Pegawai & Kakitangan Awam & Agensi Kerajaan Daerah Dungun di Dataran Dungun, petang ini.

Hadir sama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’ Zaa’ba Mohd Adib; Ahli Parlimen Dungun, YB Matulidi Jusoh; Ahli Dewan Undangan Negeri Paka, YB Zakaria @ Arifin Abdullah; Pegawai Daerah Dungun, Encik Mustaffa Abd Rahman dan Yang Dipertua Majlis Daerah Dungun, Haji Harun Mohamad.

Menteri Besar berkata, penjawat awam tidak sepatutnya menjadikan alasan yang remeh tersebut sebagai penyebab untuk membenci atau berdendam kepada kerajaan.

“Penjawat awam perlu beryukur kerana mereka menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan dan dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ini kedudukan penjawat awam lebih terjamin berbanding pekerja swasta,” katanya.