Halaman

27 April 2011

MB bawa perkhidmatan awam ke landasan gagasan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’

Oleh: Kamarudin Mat Akib

“Dalam tempoh tiga tahun pentadbirannya, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berjaya membawa perkhidmatan awam negeri ini ke landasan gagasan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Demikian kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, dalam kata-kata aluan pada buku ‘3 Tahun Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu’ yang dilancarkan Menteri Besar di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau berkata, Menteri Besar menjadi inspirasi kepada semua penjawat awam untuk meningkatkan pengetahuan, berintergriti, inovasi, kompentesi dan akauntabiliti serta bertindak proaktif dan fleksibel mengikut tuntutan perubahan persekitaran, kehendak majoriti rakyat dan hala tuju Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negeri Terengganu.

“Perkhidmatan awam negeri perlu meningkatkan usaha dan menjadi pemudahcara kepada aktiviti sektor swasta.

“Untuk berbuat demikian, kita tiada pilihan kecuali meningkatkan pengetahuan dan kemahiran di samping mengubah persepsi dan sikap agar bersifat terbuka, berinisiatif untuk melakukan perubahan,” ujar beliau.

Beliau berkata, dalam pelaksanaan agenda pentadbiran dan pembangunan negeri, kita perlu menerokai, mengharungi dan melaksanakan perubahan secara drastik selaras dengan tuntutan semasa dan ekspektasi rakyat.

Dato’ Haji Mazlan turut mengungkapkan dua rangkap pantun yang ditujukan khas kepada YAB Menteri Besar:

Dato’ Seri Ahmad Said amat disenangi
Mudah bicara menjadi teman
Jasamu Dato’ Seri kami sanjungi
Akan dikenang sepanjang zaman

Di Kijal Kemaman tempat dilahirkan
Di Kuala Terengganu pemimpin berjasa
Kepada Dato’ Seri kami doakan
Semoga berbahagia, sejahtera dan sihat sentiasa