Halaman

17 April 2011

Maidam taja pelajar ke Jordan September ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memutuskan untuk menaja dan membantu menguruskan permohonan pelajar negeri ini bagi melanjutkan pelajaran di tiga universiti di Jordan bagi kemasukan September ini.

Universiti yang mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu adalah Universiti al-Yarmouk , Universiti Mu’tah dan Universiti al-Bayt.
Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Tuan Haji Wan Harujan Sulaiman, berkata pihaknya akan membantu pelajar untuk membuat permohonan ke universiti berkenaan, diikuti urusan menterjemah keputusan Sijil Pelajaran Malaysia ke Bahasa Arab, diikuti pengesahan di Wisma Putra , pengurusan visa dan pembiayaan tambang penerbangan.

“Mudah-mudahan bantuan Maidam kepada pelajar dan ibu bapa yang tidak biasa dengan urusan permohonan dokumen melanjutkan pelajaran ke luar negara mengelak mereka daripada menggunakan khidmat ejen yang mengenakan kadar bayaran tertentu.

“Kita bersetuju mengambil alih tugas ini supaya dapat membantu pelajar menyambung ke Jordan dengan lebih baik. Insya-Allah,” katanya ketika sidang media, di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Katanya, Maidam membelanjakan kira-kira RM500,000 bagi menaja kumpulan pertama pelajar berkenaan termasuk pembiayaan kursus dan pengurusan dokumen berkaitan.

Tuan Haji Wan Harujan, berkata Kementerian Pengajian Tinggi juga bersetuju memberi kerjasama sepenuhnya dari aspek penempatan pelajar serta permohonan secara terus dengan pihak Jordan, hasil rundingan beliau dengan pihak kementerian sebelum itu.

Dalam pada itu, Maidam juga menetapkan syarat baru supaya semua pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran di bidang Pengajian Islam di universiti berkenaan menjalani program khas Skim Al-Ansar beserta Kursus Biro Tatanegara.

Skim yang menyediakan kursus Bahasa Arab dan penyesuaian diri dalam tempoh sebulan bermula 15 Mei ini bertujuan mempersiapkan pelajar dan mengelak berlaku penangguhan pengajian akibat kegagalan dalam peperiksaan serta Imtihan Qabul (ujian kemasukan) di universiti berkenaan.