Halaman

17 April 2011

Kemenangan Sarawak semarakkan semangat BN di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Keputusan Pilihan Raya Umum Sarawak ke-10 amat jelas menunjukkan bahawa rakyat negeri itu mengamalkan konsep berterima kasih kepada kerajaan.

Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya Sarawak semalam menyemarakkan semangat Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu untuk terus bekerja keras, khususnya bagi merampas kembali kerusi yang dimenangi parti pembangkang, pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata keputusan Pilihan Raya Umum Sarawak ke-10 amat jelas menunjukkan bahawa rakyat negeri itu mengamalkan konsep berterima kasih kepada kerajaan yang membantu mereka dalam pelbagai aspek.

“Kita dapati rakyat Sarawak, khususnya di kawasan pinggir bandar dan luar bandar memberi sokongan yang kuat kepada kerajaan dan Insya Allah keadaan ini juga berlaku di Terenganu,” katanya kepada Teganukita ketika diminta mengulas kemenangan BN dengan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya di Sarawak.

Beliau berkata, rakyat negeri itu member sokongan kepada Kerajaan BN kerana mereka sedar hanya BN yang mampu membela nasib mereka dan menyediakan segala keperluan penduduk tempatan.

“Cuma penduduk di kawasan bandar yang memberi sokongan kepada pembangkang menyebabkan mereka menang 15 kerusi,” katanya.



Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, jentera BN mempunyai mekanisme sendiri bagi ‘menjinakkan’ pengundi di kawasan bandar di Terengganu, khususnya di kalangan pengundi Cina.

“Kita yakin pengundi Cina di Terengganu tidak akan menolak BN kerana mereka tahu pembangkang tidak berupaya membantu masyarakat Tionghua,” ujar beliau.

Beliau berkata, pihaknya akan memperkemaskan jentera pilihan raya dan bekerja dengan lebih gigih bukan saja bagi memastikan kemenangan BN, tetapi juga merampas kembali lapan kerusi yang dimenangi oleh Pas pada pilihan raya lalu.