Halaman

28 April 2011

JKR jalankan sesi pengujian peralatan Dewan Undangan Negeri

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan sesi pengujian peralatan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan bangunan yang baru selesai menjalani kerja pengubahsuaian dan membaik pulih itu menepati tahap yang dikehendaki serta berkeadaan baik sebelum digunakan kelak.

Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang turut serta bersama kira-kira 10 pegawai dan kakitangan JKR dalam sesi pengujian itu, hari ini.
Hadir sama, Setiausahanya, A Rahim Jusoh dan bakal setiausaha yang baru berkuatkuasa 1 Mei ini, Encik Azhar Jusoh.

Pra penyerahan bangunan itu kepada kerajaan negeri dilaksanakan pada 14 April lalu sebelum penyerahan penuh pada 25 April lalu.

Struktur dalaman bangunan yang lebih menarik dan kondusif itu bakal digunakan pertama kalinya pada persidangan DUN yang dijadualkan bermula 9 Mei hingga 12 Mei ini.

Dato’ Tengku Putera dalam kenyataan sebelum ini berkata, pengubahsuaian itu dikira bertepatan dan perlu bagi memberi keselesaan kepada anggota dewan terutama di tempat duduk pegawai-pegawai kerajaan di bahagian belakang.

"Dewan itu sudah berusia hampir 30 tahun dan tiba waktunya ia perlu beri sedikit keselesaan kepada ahli yang semakin bertambah," katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja pengubahsuaian dewan itu dimulakan sejak Januari lalu melibatkan peruntukan lebih RM2 juta sejajar dengan usia bangunan yang sudah melebihi 26 tahun.

Malah, pengubahsuaian bagi menampung pertambahan 62 ketua Jabatan yang akan hadir sepanjang persidangan berlangsung, berbanding jumlah sebelum ini 126 orang.

Katanya, ia juga bertujuan mewujudkan keselesaan kepada kesemua ahli Yang Berhormat dan ketua jabatan apabila ruang tempat duduk antara mereka diperbesar dan dilebarkan. Sebelum ini, ia terlalu sempit hingga menyukarkan pergerakan keluar dan masuk ke dalam dewan.

Selain memastikan sistem pencahayaan dan bunyi yang lebih baik, ia juga bertujuan meningkatkan keceriaan dalam dewan sesuai dengan fungsi dewan sebagai tempat untuk membincangkan isu-isu yang berkait dengan rakyat Terengganu.

Oleh itu, Dato’ Tengku Putera berharap tidak ada pihak lain yang cuba menjadikannya sebagai `isu’ sebaliknya Dewan Undangan Negeri adalah tempat mulia untuk membuat perundangan dan dasar bagi kepentingan rakyat.