Halaman

26 April 2011

Jarak dekat Pulau Kapas, daratan beri kelebihan tingkat sektor pelancongan

Oleh: Aida Abd Rahman



Ciri geografi Pulau Kapas, Marang yang terletak berhampiran daratan dengan jarak hanya 6.5 kilometer memberi kelebihan kepada Terengganu bagi menganjurkan acara sukan ekstrem bertaraf dunia sebagai platform menarik kedatangan pelawat dalam dan luar negara ke negeri ini.

Penganjuran Kapas-Marang International Swimathon 2011 antara aktiviti teras dalam kalendar pelancongan negeri yang masuk edisi ke-11 sejak 1996, menjadikan pulau terkenal dalam peta pelancongan dunia itu sebagai destinasi pilihan terawal di Pantai Timur.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata penganjuran kejohanan antarabangsa itu menjadi alternatif terbaik bagi memperkenalkan destinasi pulau peranginan terunggul di negeri ini, pesisiran pantai yang landai dan bersih serta Pantai Peranginan Kelulut kepada pelawat.

“Kejohanan itu menjadi antara acara berteraskan destinasi bagi memperkenalkan destinasi dengan kaedah penganjuran acara yang menarik lebih ramai pelancong bersempena `Visit Terengganu’.

“Ia sekaligus menjenamakan destinasi di Terengganu sebagai lokasi penganjuran sukan rekreasi dan ekstrem bertaraf dunia serta produk eko pelancongan negeri seperti pulau dan pantai yang tidak mungkin dapat ditemui di mana-mana negeri lain,” katanya.

Sebanyak 20 peratus daripada 255 peserta yang berdaftar pada kejohanan kali ini melibatkan peserta asing termasuk dari Bosnia, Jerman, Hong Kong, Afrika Selatan, Jepun, Rusia, Singapura, Afrika, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Daripada jumlah itu, 191 peserta daripada 10 kategori yang dipertandingkan berjaya mengharungi dan menamatkan perlumbaan sejauh 6.5 kilometer dari Pulau Kapas menuju ke Pantai Peranginan Kelulut dengan baik tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Sementara itu, mulai tahun depan, kerajaan negeri berhasrat menambah disiplin pertandingan Kapas-Marang International Swimathon dengan acara larian sejauh kira-kira 50 kilometer, bermula dari Pantai Rantau Abang ke Pantai Kelulut, Marang.



Datuk Abdul Rahin berkata, acara baru itu bertujuan memperkenal keindahan pantai Terengganu serta kelebihan negeri ini yang mempunyai pantai terpanjang di Malaysia, iaitu sepanjang 244 kilometer.

Katanya, kejohanan yang melibatkan dua acara yang dijalankan pada hari yang sama itu bakal menawarkan hadiah yang meningkat sekali ganda, berbanding kejohanan pada tahun ini yang mengumpul hadiah keseluruhan RM43,900.

Cabaran Kapas-Marang International Swimathon 2011 merupakan acara tahunan yang dianjurkan kerajaan Terengganu dan dikendalikan oleh Trisports Events Management Sdn. Bhd.