Halaman

17 April 2011

Inap Desa dinaik taraf

Oleh: Esah Abdullah

Pembangunan infrastruktur, kursus kepada pengusaha Inap Desa (ID) dan lawatan ke luar Terengganu antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan kerajaan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.

“Di samping keindahan alam semula jadi, penyediaan tempat penginapan yang selesa serta layanan mesra mampu menyumbang ke arah peningkatan pelancong,” kata Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia , Negeri Terengganu, Encik Ahmad Fathil Abdul Ghani.

Katanya kementerian telah menyediakan peruntukan untuk menaik taraf enam kawasan ID di negeri ini yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan antaranya di Teluk Ketapang, Felda Selasih, Rhu Sepuluh dan Pasir Raja.

Katanya, pihaknya memberi penekanan terhadap industri ini kerana fungsinya turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong di mana tahun lalu telah mencatat pertambahan sehingga 44.13 peratus.

Selain itu katanya, pelancong domestik menunjukkan peningkatan ketara dengan pertambahan sebanyak 68 peratus tahun lalu berbanding tahun sebelumnya manakala pelancong asing sedikit menurun sebanyak 15 peratus.

Tambah Encik Ahmad Fathil, bagi mencapai matlamat meningkatkan 25 peratus lagi jumlah pelancong tahun ini, pihaknya akan melipatgandakan usaha dan promosi dalam dan luar negeri.

“Langkah tersebut termasuk membawa masuk lebih ramai pelancong dari Brunei dan Korea di mana pelancong dari negara berkenaan lebih gemar tinggal di ID,” katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, tahun lalu pelancong asing yang banyak memberi sumbangan terhadap sektor pelancongan adalah dari negara Indonesia, Singapura, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Belanda.

“Sasaran kita tahun ini pelancong asing lebih ramai berkunjung ke Terengganu dimana hasil kaji selidik mereka amat tertarik dengan pelbagai aktiviti tradisional serta terpesona dengan keindahan alam semula jadi yang terdapat di sini,” katanya.