Halaman

04 April 2011

Imam, bilal ambil iktibar kisah Palestin- Pesuruhjaya JHEAT

Oleh: Aida Abd Rahman

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) , Haji Mohamad Rozali Salleh meminta semua imam dan bilal di negeri ini mengambil iktibar daripada isu Palestin yang tidak pernah berpenghujung akibat perebutan kuasa.

Beliau mengingatkan Kumpulan pemimpin barisan depan dalam masyarakat Islam itu menghayati kejadian yang menarik perhatian dunia itu secara rasional dan menjadikannya sebagai titik tolak untuk memperkuatkan lagi perpaduan di dalam komuniti hari ini.

Haji Mohamad Rozali berkata, akibat perebutan kuasa, Israel mengambil kesempatan menzalimi rakyat yang tidak berdosa dan menindas golongan kanak-kanak serta wanita tanpa perikemanusian.

“Kita perlu mengambil contoh teladan daripada kisah malang rakyat Palestin dan jangan jadi orang berpecah belah sesama sendiri serta bertelegah kerana ketiadaan ketua. Kita sepatutnya bersyukur kerana kita terus berada di sini bersama anak cucu kita merasai nikmat yang ada.

“Sepatutnya kita satukan semula kuasa orang Melayu dalam satu barisan, bagi mewujudkan masyarakat yang lebih bersatu padu dan kuat. Jangan ada musuh Islam yang boleh melumpuhkan kekuatan kita,” katanya ketika berucap di majlis Mesyuarat Agung Perwakilan Kali Ke-10 2011 Persatuan Imam dan bilal Masjid Mukim negeri Terengganu, di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Naib Yang Dipertua Persatuan Imam dan bilal Masjid Mukim negeri Terengganu, Haji Mohamad Ibrahim.

Haji Mohamad Rozali berkata, peranan yang dipikul imam bilal bukan hanya mengimarahkan masjid sebaliknya juga menyatupadukan masyarakat supaya lebih kuat dan tidak terpengaruh dengan anasir yang tidak baik sehingga menyebabkan berlaku perpecahan.

Katanya, akibat fahaman politik yang sempit juga , ramai di kalangan umat Islam berpecah -belah sedangkan semua umat seharusnya mengambil langkah terbaik bagi menangani masalah dan tidak mengambil kesempatan dengan menindas antara satu sama lain.