Halaman

25 April 2011

EKSKLUSIF: DATO’ SRI NAJIB MENGULANGI SEJARAH TUN RAZAK KE PASAR BATU 6


Meja bulat daripada buluh dan boleh berpusing di bahagian tengah untuk hidangan makan bersama Perdana Menteri dan rakyat di Dun Manir sedang disiapkan oleh penduduk kampung.

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Lawatan Program Turun Padang (PTP) YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak ke Pasar Batu Enam, merupakan ulangan kepada peristiwa ayahanda beliau Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien yang pernah melawat dan bertemu peniaga di pasar berkenaan kira-kira 44 tahun yang lalu, semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Waktu itu umur Tun Razak masih muda sekitar 35 tahun tetapi sudah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.


Yahya Tahir, masih ingat lagi lawatan Tun Razak ke Pasar Batu Enam tahun 1967

Seorang warga emas yang sentiasa berurusan di pasar itu, Pak Cik Yahya Tahir (umur sekitar awal 70 an) berkata, beliau masih ingat lawatan Tun Razak itu ke pasar berkenaan yang pada masa itu tidaklah secantik masa ini, sekadar gerai-gerai dan di atas tanah sahaja.
“Syukurlah, sekarang anak Tun Razak pula yang datang,” katanya gembira kerana sempat melihat sejarah itu berulang.
Seorang penduduk berhampiran pasar Ibrahim@Ismail bin Muda, 65 juga mengesahkan perkara itu dengan menceritakan bahawa dia masih ingat Tun Razak bertanya kepada seorang peniaga tentang harga selonggok besar ubi, lalu peniaga di situ menyatakan, “hok topok besar tu samas setopok ’.
Allahyarham Tun Razak mulanya agak tidak faham, sehinggalah diberitahu bahawa harganya ialah 50 sen selonggok, kata Ismail yang kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) di kawasan itu.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Cawangan Kuala Nerus (Batu Enam), Encik Musaffa Ismail berkata, beliau akan berusaha mempastikan peniaga-peniaga datang awal sempena lawatan Perdana Menteri kira-kira jam 8.30 pagi kerana biasanya urusniaga di pasar Batu Enam rancak pada waktu 10.00 pagi ke atas.

Alias Aziz, PM akan minum di kedai makannya di pasar Batu Enam

Sementara itu, peniaga kedai makan nombor 1 , Alias Aziz tidak dapat membayangkan betapa gembira dan tidak sabarnya untuk menyambut kedatangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib minum pagi di kedainya pada 30 April nanti.
Sementara itu di Manir, jamuan makan secara tradisonal untuk Perdana Menteri dan rombongan bersama 15,000 rakyat duduk di kerusi panjang dan meja daripada buluh. Pentas utama dari kayu nibung dan atap daun pokok sagu.