Halaman

21 April 2011

Bukit Wan muncul kampung paling bersih dan ceria di Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman



Kampung (Kg) Bukit Wan, Kuala Terengganu muncul johan bagi kategori Kampung Luar Kawasan Operasi dalam Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2010.

Kemenangan itu membolehkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) itu menerima RM100,000 bagi menjalankan projek dan wang tunai RM10,000. Malah, kerajaan negeri juga bakal menghantar JKKK kampung itu melawat Australia tahun depan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyampaikan hadiah kemenangan itu di majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Sawa, Marang, petang semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, PembangunanMasyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Haji Alias Abdullah dan Adun Jabi, Haji Ramlan Ali.

Kg Bukit Wan yang terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit sebelum itu turut diumumkan pemenang JKKK bagi kategori Kebersihan Persekitaran (jalan utama dan jalan kampung), Kebersihan Infrastruktur Dalam Kawasan dan Keceriaan Lanskap. Kemenangan itu membolehkan mereka menerima wang tunai RM1,000 bagi setiap kategori.

Pengerusi JKKK Bukit Wan, Chek Harun Ismail, berkata sebaik sahaja dicalonkan mewakili daerah dalam pertandingan itu pada September tahun lalu, hampir 80 peratus masyarakat di kampung berkenaan melibatkan diri dan menggandakan usaha membersih serta mengindahkan kawasan kampung.

“Setiap hujung minggu, pada Jumaat dan Sabtu kami akan turun padang bergotong-royong memastikan setiap sudut dalam kampung kami ceria, bersih dan indah dengan tanaman serta lanskap yang menarik pandangan.

“Apa yang membanggakan, majoriti belia di kampung kami turut sama membantu. Suasana itu pastinya sukar ditemui di kampung lain dan ia memberi kelebihan kepada kami dalam memastikan matlamat dan slogan `Kampung Kita, Tanggungjawab Kita’ terlaksana,” katanya.

Perkara itu turut diakui Setiausahanya, Ambak Ismail yang sentiasa menyuntik semangat kepada golongan muda di kampung mereka untuk turut sama dalam sebarang aktiviti kampung dengan menjaga kebajikan dan keperluan golongan itu dalam setiap program, mahupun menyalurkan dana yang disediakan kerajaan sebaik mungkin.

Selain kemenangan terbaru, kampungnya juga pernah memenangi johan Anugerah JKKK Cemerlang Daerah Kuala Terengganu 2010, tempat ketiga Anugerah Desa Cemerlang peringkat negeri 2009 dan tempat ketiga Anugerah kebersihan dan Pengurusan Kubur Terbaik peringkat negeri 2010.

Sementara johan bagi kategori Kampung Dalam Kawasan Operasi dimenangi PAKR Bukit Sawa, Marang diikuti tempat kedua, Kg Guntong Luar, Setiu dan tempat ketiga Kg Medan Jaya, Marang.

Manakala tempat kedua dan ketiga bagi kategori Kampung Luar Operasi pula menjadi milik Kg Tok Dor, Hulu Terengganu dan Kg Tanjung Baru, Hulu Terengganu.

Johan berjaya membawa pulang RM100,000 (projek) dan wang tunai RM10,000, tempat kedua mendapat RM750,000 (projek) dan wang tunai RM7,500, sementara tempat ketiga memperolehi RM50,000 (projek) serta wang tunai RM5,000.

Selain pemenang tempat pertama yang bakal mendapat penajaan kerajaan melawat Australia, pemenang tempat kedua dan ketiga pula masing-masing berpeluang ke Beijing dan Shanghai, China.