Halaman

25 April 2011

60,000 pelajar sekolah menengah terima netbook tahun ini

Oleh: Esah Abdullah

Seramai 60,000 pelajar sekolah menengah seluruh negeri akan menerima netbook tahun ini dengan peruntukan kira-kira RM60 juta.

Pengarah Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pejabat Wilayah Timur, Encik Mohd Shafei Harun berkata, pemberian netbook 1Malaysia melalui program ‘Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan’ yang mula diperkenalkan kerajaan pada pertengahan tahun lalu.

“Semua pelajar yang mempunyai ibu bapa mempunyai pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan layak menerima pengagihan netbook,” katanya di majlis Penyerahan Netbook 1Malaysia untuk Pelajar Sekolah-sekolah Menengah (SM) dalam Parlimen Kuala Terengganu, di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh. Hadir sama Ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran Negeri, Haji Zubir Embong.

Katanya, pengagihan netbook ini akan dibuat secara berperingkat-peringkat dan dijangkakan menjelang akhir Mei ini kesemua pelajar yang layak akan menerimanya.

Menurut Encik Mohd Shafei, sehingga ini dalam fasa pertama pihaknya berjaya mengagihkan netbook kepada 8,520 pelajar pada awal tahun ini dan dalam fasa kedua seramai 16,282 pelajar sudah berjaya menerima netbook ini.

“Manakala fasa ketiga dijangka akan dapat dilaksanakan pada awal Mei depan dan kini proses mengemaskini data pelajar sedang dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, bagi memudahkan program ini, SKMM mendapat kerjasama daripada Pejabat Pelajaran Negeri dan daerah bagi mendapatkan data pelajar melalui sistem maklumat pelajar di sekolah masing-masing.

Katanya, pelajar yang menerima netbook itu perlu mendaftar bagi mendapatkan kemudahan jalur lebar melalui pakej yang ditawarkan serendah RM25 sebulan bagi mereka yang belum mempunyai kemudahan internet di rumah.