Halaman

01 March 2011

TSUK Ketuai Misi Kekalkan Juara Sukma

Oleh: Aida Abd Rahman


Ketua Kontinjen Sukma Terengganu, Dato' Wan Ahamad Wan Muda.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (TSUK) negeri, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda dilantik sebagai `Chef De Mission’ atau Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Terengganu sekaligus menggalas misi Terengganu selaku `Kuasa Baru Sukan Negara’ untuk kekal sebagai juara Sukma kali ketiga berturut-turut.

Beliau menerima pentauliahan bagi mengetuai kontinjen `Terengganu Hanelang’ itu daripada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat sempena majlis pelancaran Kontinjen Terengganu Sukma Ke-14 , di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini (1 Mac).



Dato’ Wan Ahamad berbesar hati dengan pelantikan itu dan akan menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin serta akan bekerjasama dengan semua pihak khususnya Majlis Sukan Negeri (MSN) serta pihak pengurusan sukan yang lain bagi menjayakan matlamat dan hasrat semua.

“Walaupun bagi mencapai kecemerlangan dan mengekalkan kejayaan sebagai `kuasa baru sukan negara’ dengan menjuarainya untuk kali ketiga-tiga berturut-turut bukan perkara yang mudah untuk dicapai, saya akan berusaha dan memberi komitmen yang sewajarnya demi kepentingan sukan negeri dan negara amnya. Sama-sama kita berdoa dan melakukan yang terbaik untuk tujuan murni ini,” katanya.



Dato’ Wan Ahamad merupakan individu yang tidak asing dalam pembangunan sukan Terengganu kerana MSN adalah satu jabatan yang terletak di bawah kawalan beliau secara langsung.

Malah, beliau adalah antara pengasas kepada penubuhan Pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) dan dilantik selaku Timbalan pengerusi Pengurusan TSG.

Beliau sendiri yang mengambil inisiatif tinggi untuk memastikan hasrat Menteri Besar untuk menubuhkan satu pasukan berbasikal bertaraf dunia serta mengumpul pelumba negeri ini bagi memastikan kebajikan mereka terjaga dapat direalisasikan dengan tertubuhnya pasukan TSG, sekaligus menjadikan Terengganu satu-satunya negeri yang memiliki pasukan basikal profesional.

Beliau dilahirkan di Kuala Terengganu pada 20 Ogos 1956 berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi kepujian (Analisa) Universiti Malaya dan Diploma Lepasan Ijazah Undang-Undang dari Universiti Metropolitan Manchester, United Kingdom.



Dato’ Wan Ahamad sebelum berkhidmat sebagai TSUK (Pengurusan) pernah berkhidmat sebagai Guru Besar Pusat Pendidikan Yayasan Islam Bukit Payong, Marang (1987) dan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu pada 1 Februari 1988 sebagai Penolong Pegawai Daerah, Pejabat daerah Marang, selain menjadi Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar (16 April 2008).