Halaman

18 March 2011

TSG semakin galak ukir nama

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pasukan lumba basikal Terengganu – Terengganu Cycling Team (TSG) semakin galak mengukir nama di arena lumba basikal.

Selepas menonjol dalam beberapa perlumbaan yang disertai sebelum ini, nama dua pelumba TSG, Anuar Manan dan Mohd Harrif Salleh semakin menjadi sebutan di kalangan peminat lumba basikal.

Walaupun TSG baru ditubuhkan beberapa bulan lalu, ia telah berjaya mengharumkan nama negeri dan tidak sia-sialah keputusan kerajaan negeri menubuhkan pasukan tersebut.

Sambil mendoakan agar pasukan TSG dan pelumba mengukir nama di pentas antarabangsa, tentunya seluruh rakyat Terengganu berbangga memiliki pasukan berkenaan yang kini sudah mampu berdiri sama tinggi dengan pasukan lain yang lebih senior.

Terbaru, pasukan TSG bakal menyertai Kejohanan Grand Prix (GP) Kebangsaan Pusingan 2 yang akan diadakan sekitar bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ahad ini (20 Mac).

Anuar Manan yang juga pelumba negera dan Mohd Hariff bersama-sama 43 pelumba lain dari Terengganu bakal mempamerkan kehebatan kayuhan mereka pada kejohanan tersebut.

Pastinya, kita semua mengharapkan mereka mencipta kejayaan dan ini akan diteruskan dalam kejohanan lain sama ada peringkat kebangsaan mahu pun luar Negara.