Halaman

08 March 2011

Tarikh pelajar balik ke Mesir diputuskan minggu ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan



Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) sudah bersetuju untuk mengadakan perkhidmatan sewa khas menggunakan pesawat Boeing 747 bagi menghantar semula pelajar Terengganu ke Mesir.

Bagaimanapun, tarikh penerbangan belum ditentukan kerana kerajaan negeri masih menunggu ‘lampu hijau’ dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai keadaan keselamatan di negara tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata hasil rundingan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dengan pihak pengurusan MAS dua hari lalu, sudah mendapat persetujuan mengenai sewa khas pesawat MAS.

Beliau berkata, dalam perbincangan tersebut kedua-dua pihak bersetuju dengan kos sewa pesawat, tetapi tarikh penerbangan belum diputuskan kerana ia tertakluk kepada kelulusan MKN.

Pada 2 Mac lalu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengumumkan Kerajaan Negeri akan menanggung sepenuhnya kos penerbangan balik mereka ke Mesir, termasuk yang belajar di negara itu secara persendirian.

Bonus berganda buat pelajar Terengganu kerana Kerajaan Negeri akan menyediakan penerbangan terus dari Terengganu ke Kaherah, bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian di universiti masing-masing, secepat mungkin.

Menteri Besar mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) memutuskan untuk membiayai kos penerbangan balik semua pelajar dari Terengganu yang pulang ke negeri ini bulan lalu, berikutan pergolakan di negara berkenaan.

Seramai 621 pelajar yang balik dari Mesir mendaftar dengan kerajaan negeri, termasuk 308 orang yang menuntut di negara berkenaan secara persendirian.

Kos penerbangan pulang 46 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan 52 pelajar yang ditaja oleh Mara akan ditanggung oleh penaja masing-masing manakala kerajaan negeri akan menanggung tiket penerbangan balik semua pelajar tajaan Yayasan Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan pelajar persendirian.

Haji Ahmad Razif berkata, kemungkinan tarikh penerbangan pelajar berkenaan akan ditentukan dalam minggu ini dan pihak urusetia sedang mengatur jadual kepulangan pelajar tersenut.

Kerajaan negeri akan menggunakan pesawat MAS bagi urusan membawa pulang pelajar terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke Kaherah.