Halaman

17 March 2011

Setiu wujud Lembah Nanas

Oleh: Esah Abdullah

Daerah Setiu akan menjadi Lembah Nanas bagi negeri ini apabila seluas 178 hektar di beberapa kawasan sudah dipenuhi dengan tanaman berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Haji Ashaari Idris berkata, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan memantau perkembangan tanaman berkenaan agar dapat dikembangkan secara meluas.

Katanya, tanaman ini telah dilaksanakan dalam beberapa peringkat dan projek perintis seluas 75 hektar di Pancur Bederu sudah mengeluarkan hasil sejak tahun lalu.

“Penanaman peringkat kedua (2010) pula membabitkan kawasan seluas 63 hektar di Bukit Kecil, Langkap yang diusahakan 63 orang penduduk golongan miskin,” katanya.

Haji Ashaari berkata, pengeluaran hasil tanaman berkenaan begitu menggalakkan dan peserta mampu memperolehi pendapatan yang lumayan jika mereka memberi tumpuan serius terhadap tanaman berkenaan.

Selain Bukit Kecil katanya, seluas 44.1 hektar kawasan baru sudah dikenal pasti di Kampung Banggol dan Tasik Berombak yang sesuai dengan tanaman nanas dan berharap ia dapat dilaksanakan tahun ini.

“Kerajaan sentiasa menghulur bantuan kepada peserta projek dan berharap mereka tidak sia-siakan sumbangan kerajaan dengan menjadikan bidang pertanian satu perniaga yang boleh memberi keuntungan,” katanya.