Halaman

06 March 2011

Semak Saman JPJ Elak Disenaraihitamkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kegagalan mengemaskini alamat kediaman menyebabkan banyak laporan mengenai pemilik kenderaan gagal mendapat surat saman yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekaligus mengakibatkan nama mereka disenaraihitamkan.

Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie, berkata pihaknya menerima banyak rungutan mengenai saman tertunggak dan kegagalan pemilik kenderaan menerima saman dalam tempoh tertentu.
“Kegagalan mengemaskini alamat menyebabkan saman tidak diterima pemilik kenderaan dan apabila mereka tidak menjelaskan saman itu menyebabkan mereka disenaraihitamkan,” katanya di pejabatnya, semalam (5 Mac).

Katanya, pihaknya berharap orang ramai sentiasa peka dengan menyemak status saman melalui pelbagai saluran yang disediakan selain menyelesaikan saman dengan segera dan tidak perlu bertangguh hingga saat akhir.

Beliau juga mengingatkan orang ramai perlu bertanggungjawab dan mengambil serius serta memberi tindakbalas terhadap notis yang dihantar pihak berkuasa bagi mengelak sebarang masalah pada kemudian hari.

Dalam perkembangan yang sama, Abdul Rahman berkata, kadar pelaksanaan kadar kompaun baru bagi kesalahan lalu lintas berkuatkuasa 1 Mac dan dilaksanakan sepenuhnya pada 15 Mac ini.

Katanya, kadar kompaun baru ini juga mengambil kira keperluan semua agensi penguatkuasa serta digunapakai secara seragam olej JPJ, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, lembaga Perlesenan kenderaan Perdagangan, Perbadanan Putrajaya dan pihak berkuasa tempatan.

“Kadar kompaun baru ini bagaimanapun adalah terpakai bagi kesalahan yang dilakukan pada atau selepas 1Mac 2011 manakala kesalahan sebelum 1 Mac 2011 masih menggunakan kadar sedia,” katanya.

Selain itu, orang ramai yang ingin membuat semakan saman JPJ boleh menyemaknya melalui kaunter JPJ atau laman sesawang JPJ (www.jpj.gov.my) dan menerusi MyEG manakala saman PDRM pula dilakukan melalui kaunter PDRM dan pautannya serta melalui MyEG.