Halaman

30 March 2011

Program Bescomm Tour erat perpaduan

Oleh: Esah Abdullah

Memupuk keakraban antara anggota masyarakat serta memberi pendedahan dan pengetahuan teknologi maklumat (ICT) antara objektif utama Program Bescomm Tour yang akan diadakan di Dataran Permata, Kampung Baru Seberang Takir minggu depan (8 April).

“Program anjuran bersama Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN) dan Pusat Khidmat Masyarakat Seberang Takir itu akan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman,” kata Pegawai Khas Exco Pelajaran, Encik Asri Zakaria.

Katanya, program yang dilaksana khusus kepada warga DUN Seberang Takir itu mensasarkan 500 peserta dan pengunjung sekaligus menyertai beberapa program pertandingan yang menguji minda peserta.

Antara aktiviti yang akan mewarnai program adalah pertandingan mewarna terbuka kepada 100 kanak-kanak dari Tabika Kemas, Tabika Perpaduan dan Pra Sekolah serta pertandingan mencipta slide untuk pelajar dari dua buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dalam DUN berkenaan.

Turut diadakan pertandingan T-Score yang terbuka kepada pelajar Tahun 5 dan 6 dan terbuka kepada 100 penyertaan di mana setiap peserta diberikan 30 soalan untuk dijawab di samping pertandingan menaip terbuka kepada mereka berusia 50 ke atas.

“Orang ramai khususnya warga Seberang Takir diminta hadir beramai-ramai untuk menjayakan program berkenaan dan setiap kehadiran berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang disediakan pihak penganjur,” katanya.