Halaman

23 March 2011

PPNT minta tubuh MPPNT

Oleh: Suriati Ali

Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) meminta kerajaan negeri menubuhkan Majlis Pembangunan Pelancongan Negeri Terengganu (MPPNT) bagi memudahkan pelbagai pihak membuat rujukan berkaitan industri pelancongan di negeri ini.

Di samping itu segala urusan seperti menyelesaikan isu pencemaran, kepupusan batu karang dan kaedah terbaik menarik minat pelancong dapat dipermudahkan dan diselesaikan di bawah satu bumbung.

MPPNT cukup penting kerana bukan saja mampu memantap dan menyelaraskan sektor itu dengan lebih sempurna dan berkesan malah memberi imej terbaik kepada Terengganu.

Pengerusi PPNT Wan Supian Wan Ishak, berkata pihaknya mengakui, Terengganu kini mempunyai Lembaga Penggalak Pelancong Malaysia (Malaysia Tourism) atau Pejabat Kementerian Pelancongan di Terengganu, tetapi peranannya tidak begitu menyeluruh.

"Apabila MPPNT ditubuhkan, kita boleh menjemput wakil-wakil dari Sabah atau Johor bagi membantu kita merancakkan lagi industri berkaitan kerana mereka sudah mempunyai majlis berkenaan yang sudah berjalan dengan sempurna.

“Pada masa sama, industri pelancongan di Terengganu memerlukan `tagline’ atau moto bertujuan memberitahu kelebihan dan produk yang terdapat di negeri ini,” katanya.