Halaman

09 March 2011

Penyokong pembangkang mula sedar kebaikan kerajaan-MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Rakyat negeri ini lebih bijak menilai kebaikan dan kebajikan yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi pelbagai program demi kesejahteraan dan faedah rakyat tanpa mengira fahaman politik .

Atas faktor itulah Terengganu yang pernah diperintah oleh Pas kembali kepada BN apabila rakyat membuat keputusan untuk menolak Pas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 yang lalu.
“Pada 1999, isu hebat berlaku dalam politik yang tidak mampu dibendung menyebabkan `tsunami politik’ berlaku di Terengganu. Tetapi apabila arus kedua datang kita dapat pertahankannya.

“Kalau melihat sejarah pada 1959, negeri pertama jatuh ke tangan Pas adalah Terengganu. Pas tidak mampu bertahan lama di Terengganu kerana mereka (Pas) gagal mentadbir negeri sebagaimana Umno dan BN mentadbir. Kebaikan yang kita lakukan menyebabkan rakyat dapat membuat perbandingan dan kembali ke pangkuan BN,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika sidang media, di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Malah, Menteri Besar juga yakin penyokong Pas di kawasan yang dimenangi parti itu sudah mula sedar bahawa mereka juga dihargai apabila mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat sebagai rakyat Terengganu.

“ Tiada sebab untuk mereka menentang kerajaan secara mutlak kecuali mereka yang memang `hardcore’ Pas. Walau apapun diberi mereka tetap akan menyokong Pas. Tetapi mereka yang pertengahan pasti boleh berfikir dan akan berterima kasih kepada kerajaan atas apa yang sudah dilakukan seperti menghantar anak mereka belajar, memberi biasiswa, pinjaman dan menyediakan kemudahan serta bahan bantuan belajar,” katanya lagi .

Oleh sebab itulah, beliau yakin kawasan yang dikuasai Pas termasuk Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Buruk mempunyai peluang cerah untuk ditawan semula pada PRU ke-13 nanti.

Katanya, pengikut Pas sepatutnya boleh bersikap lebih rasional dan tidak terikat dengan apa yang diperkatakan oleh pemimpin mereka walhal mereka menyedari kebaikan yang dilakukan kerajaan BN dan Umno.

“Di Pilihan Raya Kecil Dun Kerdau umpamanya, ada poster Pas yang dinaikkan secara besar-besaran berbunyi `beri barang ambik, tetapi undi rahsia’. Mana rasionalnya kerana sebagai pemimpin Islam mereka tidak menggambarkan ajaran Islam, sedangkan Islam mengajar kita supaya sentiasa mengucapkan terima kasih,” kata beliau merujuk kepada senario PRK Kerdau, baru-baru ini.

Katanya, rakyat dan masyarakat Islam sepatutnya sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada sesama manusia dan Allah s.w.t selain menjaga tingkah laku termasuk tidak memaki hamun kepada orang yang memberi kerana sikap tu bercanggah dengan ajaran Islam.

“Sebagai contoh di kawasan saya (Dun Kijal) murid Tahun Lima yang mendapat e-Book sebanyak 730 unit manakala (Dun) Batu Buruk pula mendapat 830 unit, manakala penerima Dana Hari Raya di kawasan saya lebih kurang 5,000 orang, di Batu Buruk juga lebih kurang 5,000 lebih, maknanya sama sahaja,” katanya.

Katanya, konsep itu seakan-akan orang Kemaman (Kijal) lebih pandai berterima kasih dan bersyukur dengan bantuan itu berbanding orang-orang di Batu Buruk yang tidak pandai bersyukur sehingga mereka menolak BN pada PRU lalu.

“Kita berjanji lebih banyak lagi perubahan yang akan dilakukan dan bukan melakukan perubahan yang melibatkan perkara sama di setiap tempat. Apabila kita bagi sesuatu, maknanya mereka perlu lakukan sesuatu sebagai timbal balas.

“Tidak mungkin kita sahaja memberi sepanjang masa dan apa yang kita harapkan mereka mengundi BN serta kesannya anak dan keluarga mereka mendapat nikmat dari segi pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan BN,” katanya.