Halaman

14 March 2011

PENERBANGAN UMRAH PERTAMA LTSM-TERENGGANU KE JEDDAH PADA 18 MAC



Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Satu penerbangan Umrah anugerah Kerajaan Negeri Terengganu tahun ini diperkenalkan dengan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada 18 Mac ini (Jumaat).

Ia adalah pertama kali diadakan penerbangan terus untuk umat Islam yang mengerjakan umrah dengan penerbangan terus Kuala Terengganu-Jeddah.
Penerbangan Umrah Anugerah ini merupakan sumbangan sosial kerajaan selaras dengan konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan yang diperkenalkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Menurut sumber Kerajaan Negeri, umrah anugerah ini adalah jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan syarikat AD Charter Services Sdn.Bhd yang telah mengendalikan operasi penerbangan haji tahun lepas Kuala Terengganup-Jeddah pada 16 Oktober hingga 17 Disember 2010.

Kini syarikat berkenaan bersetuju pula menawarkan satu penerbangan umrah secara terus Kuala Terengganu Jeddah dengan harga tiket penerbangan subsidi pada kadar RM1,500 termasuk cukai lapangan terbang dengan pakej umrah pada kadar minimum RM3,800 seorang termasuk tiket penerbangan dan penginapan.

Tawaran itu membuka peluang kerajaan negeri untuk member I ganjaran Anugerah Umarah ini kepada petugas yang terlibat dengan Operasi Haji pada tahun lepas dan peluang ini juga dibuka kepada kakitangan kerajaan negeri dengan 451 tempat duduk disediakan.

Jadual penerbangan pada 18 Mac jam 5.10 petang dan penerbangan balik pada 29 Mac.

Menurut sumber itu, kerajaan negeri Terengganu melihat langkah ini sebagai ‘platform’ permulaan untuk agensi-agensi pengendali umrah menjadikan LTSM sebagai pintu gerbang (hub) untuk mengerjakan umrah bagi penduduk Pantai Timur Semenanjung (Terengganu, Kelantan dan Pahang).

Selepas ini perancangan kerajaan negeri akan turut menyediakan penerbangan antarabangsa ke beberapa negara yanga telah dikenalpasti Indo China, Thailand dan Bandung, Indonesia yang masih dalam perbincangan dengan syarikat penerbangan.