Halaman

24 March 2011

Pelajar Tiong Hua perolehi A+ dalam Tasawwur , Pendidikan Islam

Oleh: Aida Abd Rahman

Tiga pelajar Tiong Hua, antara 17 pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 seluruh Terengganu memecah tradisi apabila masing-masing mendapat A+ dalam mata pelajaran Tasawwur Islam dan Pendidikan Islam.



Selain mengambil subjek Tassawur Islam, Wong Yujing dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman berjaya mendapat juga memperolehi A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI), Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.
Pelajar yang berasal dari Kampung Gong Badak itu mula meminati mata pelajaran Tasawwur Islam kerana dipengaruhi oleh pergaulan dengan rakan-rakan yang majoriti adalah beragama Islam.

Sejak Tingkatan Empat, dia mula mengikuti mata pelajaran itu dengan dorongan rakan-rakan beragama Islam selain ibu bapanya yang langsung tidak membantah, sebaliknya juga memberi sokongan penuh. Berdasarkan faktor itu, dia bertekad untuk melakukan lebih baik berbanding rakan-rakan yang lain.

“Apa yang penting kita perlu memahami subjek yang diambil untuk menghasilkan kecemerlangan dalam peperiksaan. Sebagaimana konsep 1 Malaysia, saya merasakan tiada halangan untuk saya turut sama bersama rakan Islam yang lain belajar subjek itu.
“Mereka belajar sejak kecil dan saya mendapat bantuan rakan-rakan serta guru selain mentelaah sendiri subjek itu dengan menggunakan buka teks,” katanya.

Manakala Lim Fang Sheng, dari SMK Sultan Ismail 2, Kemaman memperolehi 9 A+ untuk semua mata pelajaran yang diambil melibatkan Pendidikan Islam, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.

Sebagaimana kejayaan Lim, Goh Chow Ching, dari SMK Tengku Mahmud, Besut juga memperolehi 9A+ dalam semua mata pelajaran diambilnya termasuk Pendidikan Islam.



Dalam keputusan SPM yang diumumkan serentak semalam, Terengganu terus melakar kecemerlangan apabila gred purata negeri mencapai 5.03 bagi 2010 berbanding 5.17 tahun sebelumnya.

Pengecilan nilai gred purata negeri menunjukkan prestasi keseluruhan meningkat. Malah, peratusan calon yang memperolehi A ( kombinasi A+, A dan A-) dalam semua subjek yang diambil meningkat 0.5 peratus daripada 1.31 peratus (283 calon) pada 2009 kepada 1.88 peratus (405 calon) daripada keseluruhan 23,561 calon pada 2010.

Selain itu, peningkatan juga direkodkan dalam peratusan calon yang lulus semua subjek, iaitu 2.96 peratus daripada 53.58 peratus (11,601 calon) pada 2009 kepada 56.54 peratus (12,182 calon) pada 2010.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud, berkata bilangan pelajar yang memperolehi keseluruhan A atau Gred Cemerlang Tertinggi (A+) juga menunjukkan peningkatan ketara daripada hanya lima pelajar pada 2009 melonjak kepada 17 pelajar pada 2010.



Daripada 17 pelajar, empat daripadanya merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring, tiga pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman (Kuala Terengganu dan dua pelajar masing-masing dari Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu dan SMK Sultan Ismail 2 (Kemaman).

Sementara enam pelajar lagi, masing-masing seorang daripada SMA Atas Sultan Zainal Abidin, SMK Tengku Lela Segara (Marang), SMK Lembah Bidong ( Setiu), SM Sains Sultan Mahmud (Kuala Terengganu), SMK Rantau Petronas (Kemaman) dan SMK Tengku Mahmud, Besut.