Halaman

28 March 2011

Pelajar cemerlang SPM diberi imbuhan RM500 seorang

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said bersama murid Tahun 5 yang menerima e-Book di majlis Penyerahan e-Book Murid Tahun 5 di Sek Keb Paya Resak. - Foto: Harish Fadzillah.

Seramai 405 pelajar di negeri ini yang mendapat kelulusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang diumum minggu lalu, akan diberi hadiah wang tunai RM500 seorang, sebagai ganjaran kejayaan mereka meraih keputusan cemerlang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, satu majlis khas akan diadakan dalam tempoh terdekat ini bagi meraikan para pelajar terbabit atas kejayaan mereka.

“Ganjaran ini merupakan insentif kepada para pelajar yang telah mengharumkan nama sekolah dan negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis pengagihan e-Book kepada pelajar Tahun 5 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, di Sekolah Kebangsaan Paya Resak, hari ini.



Hadir sama di majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, YB Encik Yahya Khatib Mohamad dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud.

Dalam peperiksaan SPM tahun lalu, bilangan pelajar yang memperolehi keseluruhan A atau Gred Cemerlang Tertinggi (A+) menunjukkan peningkatan ketara daripada hanya lima pelajar pada 2009 melonjak kepada 17 pelajar.

Kesemua 17 pelajar yang mendapat keseluruhan A dengan Gred Cemerlang Tertinggi (A+) diberi hadiah komputer riba oleh Menteri Besar sewaktu pengumuman keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring, baru-baru ini.



Menteri Besar berkata, semua pelajar yang mendapat keputusan A bagi setiap mata pelajaran yang diambil akan menerima wang ganjaran tersebut.

Sementara itu, 623 murid Tahun 5 daripada tujuh sekolah rendah di kawasan DUN Bukit Payong menerima e-Book masing-masing daripada Menteri Besar pada majlis berkenaan.