Halaman

06 March 2011

Pegawai tadbir jangan ‘ngelat’ – MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Imbas kembali ketika Yang di-Pertuan Agong bersama Menteri Besar pada Pertandingan Golf Persahabatan Kerajaan Negeri Terengganu 2011 di Shah Alam, baru-baru ini.

Secara berseloroh, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengingatkan pegawai tadbir negeri Terengganu supaya jangan ‘mengelat’ (menipu) semasa menjalankan tugas harian masing-masing.

Beliau berkata, pegawai tadbir boleh ‘mengelat’ ketika bermain golf supaya mereka menang, tetapi amalan tersebut tidak boleh dibawa ke tempat kerja kerana rakyat akan menanggung bahana.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pegawai tadbir negeri supaya meningkatkan integriti masing-masing, bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan gejala tidak baik, termasuk rasuah dan pecah amanah.

Beliau memberi ingatan tersebut sewaktu berucap pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Golf Persahabatan Kerajaan Negeri Terengganu 2011 di Kota Kemuning, Shah Alam, baru-baru ini.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, berkenan berangkat hadir ke majlis tersebut. Baginda turut berkenan menyertai pertandingan golf tersebut yang diadakan bertujuan merapatkan hubungan antara pucuk pimpinan negeri dan pegawai tadbir.

Pastinya ramai yang sudah maklum bahawa Dato’ Seri Haji Ahmad bakal menyambut ulangtahun ketiga tempoh pentadbiran beliau yang mengetengahkan slogan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu” (MPPNT), khusus untuk memacu pembangunan negeri.

Tentunya dalam tempoh tiga tahun lalu, sudah banyak projek pembangunan dan program yang memberi manfaat kepada penduduk negeri Terengganu, dilaksanakan oleh kerajaan.

Kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh negeri Terengganu, terutama di bidang pendidikan membuktikan kesungguhan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, merubah nasib rakyat Terengganu.

Bagi penjawat awam peringkat tertinggi, MPPNT jelas memerlukan komitmen mereka untuk mendampingi rakyat, menyelami masalah mereka dan mencari jalan serta membuat keputusan bagi menyelesaikan pelbagai permasalahan yang timbul.

Justeru itu, Menteri Besar menuntut pegawai tadbir supaya ‘turun padang’ bersama-sama wakil rakyat bagi mendengar masalah rakyat dan sama-sama membantu pemimpin kerajaan negeri menyelesaikan masalah rakyat.

Bagi sesebuah badan kerajaan, kepuasan akan dapat dirasai oleh setiap tenaga warga kerja apabila kejayaan untuk membawa setiap pembangunan yang dirancang sama ada kecil atau besar, mencapai matlamat dan berkesan mengubah kehidupan rakyat.

Mereka perlu mengerah keringat, sesuai dengan hasrat dan inspirasi kerajaan negeri untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Paling penting, pegawai tadbir perlu mencurahkan taat setia kepada kerajaan negeri, bekerja secara jujur dan amanah serta tidak melakukan sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan imej kerajaan.

Dalam hal ini, Menteri Besar sudah beberapa kali memberi amaran kepada pegawai tadbir dan penjawat awam yang tidak sehaluan supaya mengundur diri dan memberi peluang kepada orang lain yang mahu berkhidmat dengan kerajaan sepenuh jiwa raga mereka.



Beliau tidak mahu ada orang yang mengamalkan sikap ‘musang berbulu ayam’ terus berkhidmat dalam kerajaan kerana ia bukan saja menjejaskan kedudukan kerajaan, tetapi lebih penting sekali pelbagai program yang dirancang tidak akan mencapai sasaran.

Akhir sekali, rakyat yang akan menjadi mangsa dan pemimpin kerajaan menjadi sasaran kemarahan rakyat.