Halaman

16 March 2011

Pameran mistik belum dapat kata putus

Oleh: Suriati Ali

Majlis Fatwa Negeri Terengganu (MFNT) masih belum dapat memberi keputusan mengenai cadangan syarikat Dynasty Event Sdn Bhd untuk mengadakan pameran mistik di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu dijangka pada bulan depan.

Ahli Jawatankuasa MFNT Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, pihaknya telah mengadakan satu mesyuarat jawatankuasa fatwa yang dipengerusikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Terengganu Dato’ Dr Alias Abdullah pada 13 Mac lalu bagi membincangka berkaitan itu.

"Jawatankuasa MFNT masih belum membuat keputusan yang muktamad sama ada boleh diteruskan atau sebaliknya. Sebagai penyelesaian ia akan dibawa kepada Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk memutuskannya," katanya.

Dato’ Haji Shaikh Harun yang juga Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berkata, pameran mistik itu merupakan satu perkara baru di mana didapati ada imbasan berkaitan dengan larangan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini.

"Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebelum ini tidak membenarkan pameran berhubung dengan perkara-perkara mistik seperti keranda, jin, kepala syaitan dan perkara-perkara lain.

“Pameran seumpama itu merupakan pertama kali diadakan di Semenanjung Malaysia di mana sebelum ini pernah diadakan di negara Brunei Darussalam.

"Jadi kita kembalikan perkara ini kepada majlis Fatwa Kebangsaan dan memang wajar serta relevan sekali kerana pihak kebangsaanlah yang akan mengeluarkan kata putus mengenai pameran itu," katanya.

Shaikh Harun berkata, Dr Alias selaku Mufti kerajaan Terengganu akan membawa perkara ini ke persidangan mufti-mufti seluruh Malaysia tidak lama lagi.

Katanya, Dr Alias akan berbincang terlebih dahulu dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku urusetia dan diharap persidangan itu diadakan secepat mungkin.