Halaman

09 March 2011

MB tinjau pembangunan pulau di Tasik Kenyir

Oleh: Raja Faisal dan Mohamad Shahrir

Menteri Besar, Dato’ SeriHaji Ahmad Said meluangkan masa selama lima jam mengunjungi pulau-pulau di Tasik Kenyir dalam rangka lawatan kerja beliau ke Tasik Kenyir petang semalam (8 Mac 2011).

Beliau diiringi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Wan Mohd Wan Ibrahim, meninjau pembangunan di Taman Orkid, Taman Burung, Taman Tropika, dan penebangan balak dalam air di sekitar Pulau Bayas.

Taman Burung yang terhasil daripada cetusan idea Dato’ Seri Ahmad kini menempatkan 120 spesies burung tanah terdiri daripada Merak, Puyuh, Kuang dan lain-lain. Di samping itu, Menteri Besar berpeluang memberi makan kepada beberapa spesies itik yang kelihatan galak berkeliaran di kawasan air taman tersebut.

Pulau Bayas bakal menjadi servis jeti iaitu menaikkan kargo yang boleh memuatkan satu kargo pada satu masa, pulau yang berkeluasan 700 hektar ni bakal menjadi “Kenyir Trade Centre” dilengkapi dengan pusat membeli belah bebas cukai.

Lawatan singkat Menteri Besar itu turut menampakkan kerja-kerja pembangunan sedang giat dijalankan dalam usaha menjadikan Tasik Kenyir destinasi pelancongan utama di Terengganu.

Pada masa yang sama, beliau Dato’ Seri Ahmad telah menanam beberapa anak pokok di Pulau Jeram Kelabu serta meninjau antara penempatan pelancong terbesar dan terbaik di Tasik Kenyir iaitu Petang Island Resort, Pulau Petang.

Pulau Petang menerima peruntukan besar daripada kerajaan negeri untuk membangunkan dewan serbaguna serta memperbanyakkan chalet di pulau tersebut bagi menampung kebanjiran pelancong dalam dan luar negara pada masa hadapan.

Lawatan yang bermula 2.30 petang telah berakhir pada jam 7.00 malam apabila Kenyir Sanctuary Resort, Pulau Pos menjadi destinasi terakhir.







http://webtv.terengganu.gov.my/?p=2142