Halaman

09 March 2011

Nasib dua anak yatim piatu dibela

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YB Haji Abdul Razif Abd Rahman, turut menyambut ketibaan kedua-dua beradik tersebut, di perkarangan Sekolah Menengah Kompleks Gong Badak, hari ini. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Impian dua beradik yatim piatu dari Kampung Gong Kuin 2, dekat Gong Badak, untuk meneruskan pengajian mereka di peringkat sekolah menengah tercapai hari ini apabila pelbagai agensi kerajaan membantu mereka dengan menempatkan di Sekolah Menengah Kompleks Gong Badak, hari ini.

Dua beradik berkenaan, Norsuhana Abd Razak, 15, dan adiknya Nor Suriati, 13, masing-masing dimasukkan ke tingkatan tiga dan tingkatan satu sekolah menengah berkenaan, mulai hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia, Haji Abdul Razif Abd Rahman, turut menyambut ketibaan kedua-dua beradik tersebut, di perkarangan sekolah berkenaan.

Wakil daripada pelbagai agensi yang terlibat dengan pengurusan penempatan pelajar berkenaan, termasuk Jabatan Pelajaran Negeri, Yayasan Terengganu dan pengetua serta guru-guru sekolah berkenaan turut menyambut kedatangan pelajar itu.



Dua beradik itu yang kini yatim piatu setelah kematian ayah mereka, Abdul Razak Hussin, dua minggu lalu, tercicir daripada meneruskan pengajian keraan kemiskinan keluarga. Emak mereka meninggal dunia lebih dua tahun lalu.

Keadaan dua beradik dari keluarga besar itu bertambah parah selepas kematian ayah mereka kerana tidak ada orang yang menguruskan keluarga, termasuk menyediakan keperluan harian dan makan minum.

Haji Ahmad Razif berkata, YT membeli pakaian seragam dan pelbagai keperluan persekolahan dua beradik tersebut serta wang saku untuk ke sekolah.

“Pihak kami akan memantau perkembangan mereka dan jika pelajar berkenaan menunjukkan prestasi pembelajaran yang memberangsangkan, YT akan memberi biasiswa kepada mereka,” katanya.



Beliau berkata, pelbagai agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat turut memantau keperluan keluarga berkenaan dan akan menghulurkan bantuan yang diperlukan.

Beliau berharap mereka dapat meneruskan pengajian dengan baik dan mampu meraih keyaan cemerlang dalam pelajaran, bagi membantu ahli-ahli keluarga yang lain.