Halaman

03 March 2011

MBNT puji sikap prihatin kerajaan negeri

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) memuji sikap prihatin Kerajaan Negeri untuk menanggung sepenuhnya kos penerbangan balik pelajar ke Mesir, termasuk mereka yang menuntut di negara itu secara persendirian.

Pengerusi MBNT, Encik Mat Yusof Mat Ali, berkata langkah itu jelas menunjukkan kecaknaan kerajaan negeri terhadap pelajar di mana bidang pendidikan sentiasa diberi keutamaan dalam apa jua keadaan.

“Para pelajar dan keluarga perlu bersyukur dengan keputusan kerajaan itu dan berterima kasih kepada pemimpin kerajaan yang sentiasa memberi bantuan sejak mereka mula memasuki pusat pengajian hingga tamat belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan untuk membiayai kos penerbangan balik pelajar ke Mesir di mana Kerajaan Negeri turut berurusan dengan MAS untuk menyediakan penerbangan terus dari Terengganu ke Kaherah, bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian di universiti masing-masing, secepat mungkin.

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said mengumumkan bahawa mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) semalam memutuskan untuk membiayai kos penerbangan balik semua pelajar dari Terengganu yang pulang ke negeri ini bulan lalu, berikutan pergolakan di negara berkenaan.

Seramai 621 pelajar yang balik dari Mesir mendaftar dengan kerajaan negeri, termasuk 308 orang yang menuntut di negara berkenaan secara persendirian.

Encik Mat Yusof berkata, pihaknya turut berharap para pelajar yang akan meneruskan pelajaran mereka di negara berkenaan menumpukan perhatian kepada pembelajaran mereka dan mengelak daripada terjebak dalam kegiatan anti-kerajaan.

“Kita mendapat maklumat ada pelajar yang terlibat secara langsung dalam kegiatan anti-kerajaan ketika menuntut di luar negara kerana terpengaruh dengan pihak tertentu yang cuba merosakkan imej pemimpin negara.

“MBNT bimbang jika para pelajar terlibat dengan kegiatan politik yang didalangi pihak tidak bertanggungjawab ini, mereka tidak dapat menumpukan perhatian pada pelajaran dan akhirnya gagal menamatkan pengajian,” katanya.

Beliau berkata, jika itu berlaku bukan saja keluarga pelajar yang kecewa, tetapi pemimpin kerajaan turut kecewa kerana hasrat mereka mewujudkan golongan pemimpin pelapis tidak tercapai.