Halaman

31 March 2011

Majlis Solat Hajat dan Kesyukuran

Oleh: Ruslan Abd Rahman, Suriati Ali dan Razlan Mamat


Liputan Video Solat Hajat Sempena 3 Tahun Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu.


YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said menyampaikan ucapan sempena 3 tahun menerajui tampuk pemerintahan negeri.

Majlis Solat Hajat dan Kesyukuran Sempena Tiga Tahun YAB Dato' Seri Haji Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu telah diadakan di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, malam tadi (30 Mac).

Lebih 100 jemaah hadir di majlis itu termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Haji A. Rahman Mokhtar, pegawai kanan kerajaan dan beberapa pemimpin masyarakat.

Majlis ilmu itu dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan diikuti tahlil serta solat hajat.


Lebih 100 orang hadir ke majlis bacaan yassin, tahlil dan solat hajat.

Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata dia melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dipermudahkan segala urusan kerja sepanjang tiga tahun mentadbir Terengganu.

Katanya, Terengganu berjaya mengekalkan kedudukan teratas selama 10 tahun berturut-turut dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan beberapa peperiksaan umum lain yang turut cemerlang adalah berkat semua pihak.

“Pembangunan, bantuan kebajikan dan pelbagai program untuk rakyat akan diteruskan semata-mata untuk keselesaan dan kesejahteraan rakyat Terengganu,” katanya ketika memberi pesanan kepada jemaah.



Sebelum ini, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, memperkenalkan konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, khusus untuk rakyat kerana bagi beliau dalam apa jua keadaan, rakyat menjadi agenda utama.


Antara jemaah yang hadir di majlis solat hajat dan kesyukuran yang diadakan.

Bermula dari situ, Menteri Besar dalam setiap ucapan beliau sentiasa mengingatkan pemimpin politik dan pegawai kanan kerajaan supaya memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau memperkenalkan konsep 5M iaitu menjiwai, menghalusi, memahami, melaksana dan memantau, agar ia dihayati para pegawai dan kakitangan kerajaan.

Seawal pentadbirannya, Dato’ Ahmad yang berasal dari keluarga miskin, mengumumkan peruntukan yang besar bagi menggantikan atap rumah penduduk kampung yang bocor kerana masalah itu sering dikaitkan dengan kesusahan rakyat.