Halaman

08 March 2011

KTB naik taraf universiti akhir tahun

Oleh: Esah Abdullah

Kolej Teknologi Bestari (KTB) yang terletak di Putrajaya, Bandar Permaisuri, Setiu akan dinaik taraf kepada sebuah universiti selewat-lewatnya akhir tahun ini.

“Segala prosedur dan persiapan ke arah menaiktaraf sudah lengkap dan pegawai dari KPT juga telah datang membuat lawatan, kita sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ,” kata Pengerusi Eksekutif KTB, Dato’ Dr. Tengku Mahmud Mansor.

Katanya, setakat ini KTB menawarkan sembilan program pengajian termasuklah Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Pengajian Teknologi Maklumat, Diploma Keusahawanan, Sijil Sains Komputer dan Sijil Pengurusan Perniagaan.

Selain itu katanya, turut ditawarkan Bacelor Pentadbiran Perniagaan (BBA), Diploma Kejururawatan, Ijazah Sarjana Muda Multimedia, Ijazah Sarjana Muda Kewangan, Diploma Kewangan dan Perbankan.

“Pemgambilan pelajar juga akan bertambah daripada 1,500 kepada 5,000 orang mulai sesi akan datang dan akan menawarkan lebih banyak kursus-kursus berdasarkan pasaran kerja semasa, katanya.

Menurut Dato’ Dr. Tengku Mahmud, KTB telah mengadakan program kerjasama dengan beberapa university seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Keutamaan diberi kepada pelajar anak yatim berdasarkan kelayakan yang ditetapkan selain dibuka kepada pelajar tempatan dan luar negara,” kata Yang Dipertua (YDP) Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya), merangkap YDP Pertubuhan Kebangsaan Anak Yatim Malaysia (Peyatim.

Katanya, anak yatim diberi potongan bayaran yuran pengajian dan asrama, di samping peluang belajar percuma sementara menunggu kelulusan pinjaman daripada mana-mana agensi.