Halaman

31 March 2011

Kerajaan negeri cadang skim khas urus jenazah

Oleh: Aida Abd Rahman




Kerajaan negeri bercadang menyediakan imbuhan khas kepada imam dan bilal di negeri ini yang bersedia dan sanggup menguruskan jenazah di kampung masing-masing.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta supaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengkaji secara terperinci cadangan itu temasuk mengadakan satu resolusi khusus berhubung pengurusan jenazah.

“Saya agak sedih kerana kita kekurangan pengurus jenazah. Pengurus jenazah yang terhad menyebabkan timbul masalah apabila berlaku banyak kematian di sesebuah kampung.

“Kadang-kadang terpaksa dapatkan khidmat pengurus jenazah `import’ dan jauh dari kawasan kampung,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Kali Ke-10 2011 Persatuan Imam dan Bilal Masjid Mukim negeri Terengganu, di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu, malam semalam.


Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Kali Ke-10 2011 Persatuan Imam dan Bilal Masjid Mukim negeri Terengganu, di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu. - Foto: Syed Abdul Rahman.

Turut hadir, Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohamad Rozali Salleh dan Naib Yang DiPertua Persatuan Imam dan Bilal Masjid Mukim negeri Terengganu, Haji Mohamad Ibrahim.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri bersedia menguruskan skim khas kepada kumpulan imam dan bilal yang mahu menjalankan tanggungjawab yang juga fardu kifayah serta memberi manfaat kepada umat Islam itu.

Sehubungan itu, Katanya, JHEAT perlu menyelaras kursus sebagai garis panduan bagi memastikan golongan itu mampu menjalankan tugas pengurusan dengan sempurna dan tidak akan timbul lagi masalah kekurangan kumpulan pengurusan itu kelak.

Dato’ Seri Ahmad sebelum itu turut mengingatkan golongan pemimpin masyarakat berkenaan supaya sentiasa mensyukuri nikmat dan kelebihan yang dikurniakan Allah s.w.t sehingga terpilih menjalankan tanggungjawab yang mulia sebagai pemimpin masyarakat.



Katanya, kumpulan imam dan bilal di negeri ini menjadi golongan paling bertuah berbanding negeri lain disebabkan pelbagai kelebihan serta kemudahan yang disediakan kerajaan sebagai mengiktiraf peranan mereka yang cukup penting dalam masyarakat.

“ Terengganu sudah lebih dari segi bilangan imam. Kita ada tiga orang imam di setiap masjid berbanding negeri lain. Oleh itu, kita harap imam bilal dapat menjalankan kerja pengurusan masjid dengan baik dan masjid dalam keadaan bersih serta terjaga rapi.

“Saya minta JHEAT mengenal pasti golongan itu yang boleh disenaraikan dalam anugerah khidmat cemerlang setiap tahun dan kita pilih tiga hingga empat orang untuk mengerjakan umrah,” katanya.