Halaman

01 March 2011

Kerajaan belum putuskan mengenai pameran alam mistik

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan melihat secara terperinci sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pameran alam mistik yang bakal dianjurkan syarikat Dynasty Event Sdn Bhd selama tiga bulan bermula April depan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihak akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) sebelum meluluskan pameran itu.

“Kerajaan negeri akan menarik permit pameran sekiranya tidak mendapat kebenaran Majlis Fatwa walaupun Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sudah mengeluarkan lesen,” katanya ketika diminta mengulas mengenai cadangan syarikat berkenaan mengadakan pameran alam mistik di Dataran Shahbandar.

Dato’ Seri Ahmad menegaskan sehingga ini, kerajaan negeri tidak boleh memberi keputusan muktamad sama ada syarikat tersebut boleh meneruskan pameranitu atau sebaliknya.

Mengikut laporan akhbar Kosmo semalam, Setiausaha Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata jawatankuasa itu sudah membuat ketetapan sejak 2007 bahawa pameran seperti itu adalah haram diadakan kerana tidak mahu masyarakat Islam disogok dengan perkara tahyul dan kurafat.