Halaman

15 March 2011

Jheat lahir 1,000 Hafiz dan Hafizah

Oleh: Suriati Ali



Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Jheat) dijangka melahirkan 1,000 Hafiz dan Hafizah setiap tahun sekiranya Kelas Hazafan al-Quran (KHAQ) di negeri ini diikuti dengan sempurna oleh pelajar.



Pesuruhjaya Jheat, Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata pihaknya komited melahirkan seramai mungkin Hafiz dan Hafizah di Terengganu kerana pada masa kini masyarakat terutama ibu bapa seakan lupa terhadap tanggungjawab itu.

Katanya, sebagai permulaan, sebanyak sepuluh Sekolah Menengah Agama di negeri ini membabitkan pelajar tingkatan satu dipilih bagi mengikut KHAQ. Mereka perlu menghafaz al-Quran sekurang-kurangnya enam juzuk dalam tempoh setahun.

“Apabila tamat tingkatan lima nanti, mereka sudah mampu menghafaz 30 juzuk dan lancar dengan jenis bacaan fateh, taranum, munabbih dan fasohah.

“Kelas ini diwujudkan di atas desakan ibu bapa yang mahukan anak masing-masing `celik al-Quran’ selain menampung lebihan pelajar yang gagal mengikut program sama di lima Sekolah Menengah Imtiaz,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Menghafaz al-Quran peringkat negeri Terengganu di Auditorium, Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, malam tadi (14 Mac).

Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh, Imam Besar negeri, Haji Aizi Saidi Abd Aziz dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Seramai 15 peserta berjaya menperdengarkan bacaan masing-masing di hadapan lapan hakim profesional.

Peserta persendirian lelaki, Mohd Jalaluddin Al-Fahmi Jusoh, 23, tahap hafaz 1 hingga 30 juzuk, dinobatkan sebagai juara bagi pertandingan itu. Beliau memperoleh wang tunai RM7,000 berserta sijil.

Manakala bagi peserta persendirian perempuan, Jueziatul Husna Mohd Zainun, 25, turut dinobatkan juara dan memperoleh hadiah dalam jumlah yang sama.

Mereka yang berjaya menjadi juara bagi setiap tahap hafaz iaitu 1 hingga 10 juzuk, 1-20 juzuk dan 1 hingga 30 juzuk layak mewakili negeri untuk ke pertandingan akhir peringkat kebangsaan.

Menurut Dato’ Haji Shaikh Harun, pendekatan ini nyata memberi tanda positif untuk melahirkan lebih ramai penghafaz al-Quran di Terengganu, selain dapat membantu mencapai matlamat kerajaan negeri.

“Pihak kami turut memperkenalkan kelas Bahasa Arab di hampir semua sekolah rendah dan menengah di negeri ini bagi membiasakan pelajar dengan bahasa Syurga itu sejak awal usia lagi.

“Ibu bapa disarankan perlu peka terhadap program yang diwujudkan di setiap sekolah anak dan perlu mendalaminya bersama-sama bagi mengelak terus ketinggalan,” katanya.