Halaman

29 March 2011

Jangan rosakkan pemikiran aset negara

Oleh: Esah Abdullah



Ibu bapa dan guru di negeri ini yang cenderung bermain politik diingatkan supaya jangan sekali-kali merosakkan pemikiran anak-anak serta pelajar kerana mereka merupakan aset negara.

“Kalau nak berpolitik boleh tapi jangan rosakkan masa depan mereka,” kata Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said ketika berucap di majlis Penyerahan e-Book kepada Murid Tahun 5, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubu, Marang, petang semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, YB Yahya Khatib Mohamad; Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud dan Pegawai Daerah Marang, Haji A. Rahman Che Ali.



Katanya, kerajaan menyediakan peruntukan besar dalam bidang pendidikan melebih peruntukan pembangunan lain semata-mata ingin melihat generasi baru mendapat kemudahan dan peluang belajar terbaik demi masa depan diri, keluarga dan negara.

“Mereka jadi penganti kepada barisan kepimpinan hari ini dan bekal paling berharga adalah ilmu pengetahuan dunia dan akhirat agar sentiasa bersedia mental dan fizikal berhadapan cabaran dunia global,”katanya.



Katanya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan mempunyai wawasan untuk melihat rakyatnya berjaya, pembangunan modal insan menjadi agenda utama dan usaha merubah lanskap ekonomi masyarakat diberi perhatian serius.

Menteri Besar kemudiannya menyerahkan 916 unit e-Book kepada 916 pelajar Tahun 5 daripada 14 buah SK dalam DUN Pengkalan Berangan.

Sekolah berkenaan termasuklah Sk Jambu Bongkok (45 orang), SK Pasir Putih (37), SK Gong Balai (67), SK Mercang (109), SJK (C) Chong Hwa (30), SK Jenang (17), SK Jerong (62), SK Padang Mengkuang (133), SK Gondang (39), SK Wakaf Tapai (72), SK Bukit Sawa (153), SK Bukit Jejulong (65), SK Pengkalan Berangan (62) dan SK Kubu (25).