Halaman

19 March 2011

Jaga kebersihan sungai guna perangkap sampah

Oleh: Suriati Ali.



Kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) terus berusaha menjaga kebersihan sungai di Terengganu dengan memasang 30 perangkap sampah membabitkan kos RM1 juta pada tahun lalu.


YB Toh Chin Yaw. -Foto oleh Zulkipli Putra.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, YB Toh Chin Yaw, berkata, semua perangkap itu dipasang di laluan utama air sepanjang Sungai Terengganu bagi memerangkap pelbagai jenis sampah yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, langkah itu juga mampu mencantikkan lagi keindahan sungai selain mengelak kejadian banjir terutama membabitkan kawasan rendah.

“Pada masa sama, ia dapat membantu pihak pengurusan Taman Tamadun Islam (TTI) yang kini giat mempromosi Sungai Terengganu menggunakan perkhidmatan Bot Cruise.

“Sebanyak tiga jenis perangkap sampah yang dipasang itu dikenali sebagai `Grass Polutant Trap’ (GPT), `Modular Floating Rubish Trap’ (MFRT) dan `Anti Back Flow Rubish Trap’ (ART),” katanya ketika dihubungi pemberita Teganukita.

Antara lokasinya adalah Alor Lorong Jamil, Alur Chabang Tiga, Alur Hiliran, Alur Manir, Alur Buloh, Alur Sekati, Parit Tok Adis, Alur Tok Molor, Alur Guruh Telok Pasu, Parit Sungai Pinang, Sungai Paloh, Alur Manir dan Alur Buluh Duri Bukit Tunggal.

Menurutnya, menyedari kebaikan pemasangan perangkap sampah itu, pihaknya turut memasang kemudahan sama di sepanjang Sungai Kuala Ibai dan beberapa longkang utama di kawasan Chendering, Kuala Terengganu dengan membabitkan kos RM500 juta.