Halaman

13 March 2011

Institut Khat bakal dibina di TTI

Oleh: Esah Abdullah


Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Sri Bendahara Raja ketika merasmikan Inspirasi Seni Khat di TTI, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Harish Fadzillah.

Sebuah Institut Khat terulung di Asia bakal dibina di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man dan akan menjadi tempat rujukan khat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.



“Untuk merealisasikan hasrat berkenaan pihak pengurusan TTI akan menyiapkan kertas kerja sebelum pelaksanaan pembangunan institut berkenaan berjalan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.



Menurut Haji Ahmad Razif, pembinaan institut berkenaan akan menjadi mercu tanda baru bagi kerajaan negeri dan untuk peringkat permulaan, Geleri Khat di Institut Al-Quran (IQ) di Padang Midin akan dipindahkan ke TTI.

Namun begitu katanya, pembinaan institut berkenaan akan mengambil kira semua aspek termasuk kajian, sejarah dan ketamadunan bagi memastikan ianya relevan.



“Penyediaan kertas kerja juga perlu berpandukan beberapa institut yang ada di luar negara seperti di Mesir dan Turki,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Inspirasi Seni Khat di TTI semalam.

Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Sri Bendahara Raja telah merasmikan majlis tersebut dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan , Dato’ Mazlan Ngah dan Ahli Lembaga Pengarah TTI Management Sdn Bhd, Datuk Zubir Embong.