Halaman

02 March 2011

Ilmu seminar cukup berguna

Oleh: Suriati Ali

“Banyak ilmu diperoleh daripada program seumpama ini, cukup rugi sekiranya mereka yang terpilih secara sengaja gagal menghadirkan diri.

“Segala maklumat yang dibentang fasilitator cukup berharga, ia perlu disampaikan kepada generasi akan datang supaya tidak terus leka dengan dakyah tertentu,” kata peserta seminar, Che Masnah Bakar yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita UMNO Cawangan Mak Kemas.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual Teganukita di Seminar Pemantapan Kepimpinan Pegawai Kerajaan dan Pemimpin Masyarakat, di Perpustakaan Awam Daerah Marang, hari ini.

Kakitangan awam Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Asri Jusoh, berkata seminar diikuti ini cukup berbeza berbanding program sama yang diikutinya sebelum ini.

Katanya, penyampaian fasilitator cukup mantap dan berkesan kerana mempunyai pelbagai selingan muzik keagamaan, nasyid dan lagu patriotik. Pendekatan ini sememangnya digemari peserta yang nyata tidak mengantuk ketika mendengar motivasi.

“Pendapat saya, program penuh bermaklumat ini perlu diteruskan kepada pelbagai kumpulan dan Badan Budan Kerajaan (NGO) termasuk golongan belia.

“Ia cukup penting kerana generasi kini kurang mengetahui liku-liku dan kepayahan yang dirasai pemimpin terdahulu,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Medan Jaya I, Abdullah Embong, berkata dia gemar mendengar setiap motivasi terutama bertajuk ‘Bangun Runtuhnya Tamadun dan Empayar Besar’ yang disampaikan ustaz Mohd Fadzil Abu Kasim.

“Pesanan bermaklumat yang menyatakan sekiranya masyarakat setempat tidak bersatu untuk mempertahankan kawasan daripada dijajah pihak lain, ia akan punah. Apabila ia punah, tidak tahu lagi bila kita boleh bangun.

“Apa yang disampaikan cukup menyentuh jiwa. Oleh itu saya berjanji pada diri saya dengan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai mungkin,” katanya.