Halaman

10 March 2011

HSNZ pusat pengesahan ATS pertama di Pantai Timur

Oleh: Esah Abdullah



Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menjadi pusat pengesahan Amphetamine Type Simulant (ATS) pertama di Pantai Timur dan kedua di negara ini selepas Hospital Kuala Lumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, kerajaan negeri memperuntukan RM1.5 juta untuk menaiktaraf makmal dadah di Jabatan Patologi di HSNZ.

“Kos berkenaan juga meliputi penyediaan Perkhidmatan Ujian Pengesanan ATS iaitu untuk pengubahsuaian makmal dan pembelian peralatan,” katanya.

Katanya, usaha ini bertepatan dengan hasrat kerajaan memerangi jenayah penyalahgunaan dadah di negeri ini yang semakin membimbangkan.

“Kewujudan perkhidmatan pengesanan ATS ini dapat membantu agensi-agensi terlibat terutamanya pihak polis mempercepatkan kes-kes penyalahgunaan dadah terutamanya jenis ATS,” katanya.



Menurut Dr. A. Rahman, setiap tangkapan kes yang memerlukan ujian pengesahan terpaksa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan ini mengakibatkan tertuduh terpaksa direman lebih lama di lokap sementara menanti keputusan ujian mengakibatkan banyak kes tertangguh.

“Dengan adanya perkhidmatan ini, diharap dapat membantu mempercepatkan penyelesaian kes penyalahgunaan dadah dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan masalah berkenaan.