Halaman

26 March 2011

Dana Kebajikan Sosial Perubatan bantu rakyat

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri telah membelanjakan RM8.6 juta atau 82 peratus di bawah Dana Khas Kebajikan Sosial Perubatan membabitkan 3,165 pesakit di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr A. Rahman Mokhtar berkata, dana berkenaan dibelanjakan untuk membantu pesakit yang tidak berkemampuan bagi membiayai rawatan mereka.

“Antara yang dibantu termasuk pembelian peralatan untuk rawatan seperti kaki palsu, mesin oksigen concentrator, implant, lampin pakai buang dan bekalan susu khas,” katanya.

Katanya, kerajaan memperuntukan RM10 juta bagi tujuan berkenaan dan berkaitan ketidakmampuan pesakit membiayai kos rawatan dan ubat-ubatan akan dibantu sepenuhnya.

“Pesakit atau keluarga perlu merujuk kepada pihak hospital kerajaan dan surat pengesahan daripada doktor adalah perlu bagi penyaluran bantuan,” katanya.

YB Dr. A. Rahman berkata, kebajikan rakyat tidak pernah diabaikan dan segala maklumat bantuan yang disediakan sentiasa diuar-uarkan agar mereka yang tinggal jauh di pedalaman mendapat info dan tidak cemas bila berdepan masalah berkaitan.

Beliau kemudiannya menasihatkan orang ramai sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.