Halaman

01 March 2011

Buruan Juara Sukma Ke-14 Kali Ketiga Berturut-turut

Oleh: Aida Abd Rahman


Kontinjen Sukma Terengganu bersama Ketua Kontinjen, Dato' Wan Ahamad dan YB Rozi melaungkan semangat untuk memburu juara buat kali ketiga berturut-turut. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Terengganu nekad untuk meneruskan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-14, Kuala Lumpur pada 2 hingga 12 Jun ini.

Kontinjen Terengganu mensasarkan 48 pingat keseluruhan dengan 24 emas, 15 perak dan sembilan gangsa.

Bagi mencapai hasrat itu, semua pengurus sukan digesa melakukan perubahan kepada kaedah dan mekanisme penyediaan atlet yang lebih baik, mampan dan lebih meyakinkan untuk mengulangi kejayaan itu.

“Jangan sesekali kita merasa selesa dengan kejayaan lalu tanpa melakukan apa-apa tindakan ke arah memastikan kejayaan tersebut berulang dengan lebih cemerlang.

“Hari ini saya bersama-sama tuan akan emnjadi agen kepada perubahan itu. Marilah kita bersama-sama bertekad utnuk memastikan terengganu sentiasa dinobatkan sebagai `Kuasa Baru Dalam Sukan Negara’,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat, ketika majlis pelancaran logo & kontinjen Sukma ke-14 Terengganu, di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini (1Mac).



Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan negeri, Haji Zainal Abidin Hussin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ wan Ahamad Wan Muda.

Dato’ Wan Ahamad turut menerima pelantikan sebagai Ketua Kontinjen Terengganu daripada Haji Rozi serta menerima plak sasaran pungutan pingat pada Sukma ke-14 nanti.

Sementara itu, menurut Haji Rozi, acara yang dipertaruhkan untuk menyumbang emas paling banyak adalah kanu, 10 emas ( empat perak dan dua gangsa) manakala berbasikal empat emas, diikuti judo tiga emas (lapan perak dan dua gangsa).

Acara lain, lawan pedang (dua emas), bola tampar pantai, futsal dan ragbi masing-masing mensasarkan satu emas.

Haji Rozi berkata, sebanyak 20 jenis sukan dipersetujui untuk dipertandingkan sepanjang temasya itu nanti daripada kategori Sukan Pilihan.

Sementara itu, logo baru Terengganu yang dinamakan `Terengganu Hanelang’ yang menggunakan penyu belimbing sebagai ikon baru sukan negeri ini turut dilancarkan.