Halaman

22 February 2011

Ukom Anjur Lawatan Maklumat Untuk Wartawan

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan


Kemajuan projek Taman Ilmu yang dijangka akan digunakan menjelang akhir tahun ini. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Seramai 10 orang wartawan dan jurugambar dari pelbagai organisasi media tempatan menyertai lawatan bermaklumat yang dianjurkan Unit Komunikasi Negeri (Ukom) di daerah Besut hari ini.

Rombongan tersebut yang menaiki bas Setiausaha Kerajaan Negeri, tiba di Sekolah Menengah Imtiaz Besut di Kampung Raja, kira-kira jam 10 pagi dan diberi taklimat oleh Pengetuanya, Haji Abdul Wahab Mohd Arshad, mengenai sekolah berkenaan yang diberi taraf Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, turut mendengar taklimat dan menyampaikan ucapan kepada guru-guru sekolah dan rombongan wartawan.



Sempena lawatan tidak rasmi ke sekolah berkenaan, YB Razif meluluskan peruntukan RM20,000 kepada guru-guru sekolah itu untuk menganjurkan lawatan dan mengadakan program di sekolah berkenaan.

Beliau turut memberi jaminan untuk menyelesaikan beberapa masalah terdesak yang dihadapi pihak pengurusan sekolah, termasuk menggunakan Asrama Kelompok Pelagat milik Yayasan Terengganu, sebagai penempatan sementara pelajar sekolah berkenaan.



Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong dan beberapa pegawai serta kakitangan Ukom turut menyertai lawatan berkenaan yang bertujuan memberi maklumat kepada wartawan mengenai Sekolah Imtiaz dan Taman Ilmu.

Pada sebelah petang, rombongan tersebut dibawa melawat ke Taman Ilmu dan diberi maklumat mengenai kemajuan projek taman berkenaan yang sebahagian besarnya hampir siap dan boleh digunakan menjelang akhir tahun ini.

TEGANUKITA