Halaman

01 February 2011

Sikap Berat Tulang Punca Denggi

Oleh: Aida Abd Rahman



Sikap segelintir masyarakat yang `berat tulang’ dalam menjayakan program gotong-royong membersihkan kampung sendiri antara penyebab masalah demam denggi masih berlaku di negeri ini.


Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, YB Toh Chin Yaw, berkata pelbagai saranan dan kempen sudah dilaksanakan kerajaan negeri dan agensi berkaitan namun sikap sekelompok masyarakat yang tidak pernah berubah menyukarkan hasrat memastikan kawasan persekitaran bersih sekaligus terhindar daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.



“Memang berlaku masalah denggi dan H1N1 di Terengganu.Kita di pihak kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Alam Sekitar dan kerajaan tempatan melakukan pelbagai program bagi memastikan kualiti alam sekitar kita meningkat.

“Malah, pada tahun ini dijalankan program tambahan bagi menjaga sungai dan fizikal selain mencadangkan bot pemungut sampah bagi memastikan sungai dan kawasan yang menjadi tumpuan pelancong tidak tercemar dengan sampah sarap yang dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” kata beliau ketika ditemui di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Selain itu, beliau juga kesal kerana banyak program gotong-royong hanya melibatkan peratusan kecil penduduk kampung yang bekerjasama untuk turun padang menjayakan aktiviti berkenaan.



Bagaimanapun, pihaknya berharap Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) mengambil langkah yang lebih proaktif untuk menggembleng tenaga semua komuniti dalam kampung untuk turun padang dan menunaikan tanggungjawab kemasyarakatan.

“Tindakan itu bukan hanya dapat membersihkan kawasan persekitaran kita, bahkan juga akan mewujudkan kesedaran rakyat mengenai keperluan menjaga kebersihan. Ia juga memerlukan sokongan agensi berkaitan ketika program diamalkan.

“Selain itu, penguatkuasaan ketat perlu dilaksanakan kerana sikap sambil lewa orang kita yang lebih gemar melakukan tabiat buruk membuang sampah di tempat sendiri terutama tempat awam. Bagaimanapun, apabila ke luar negara tabiat buruk itu tidak diamalkan kerana menghormati perundangan dan penguatkuasaan sesebuah tempat,”katanya.