Halaman

18 February 2011

SENAM SENI DAPAT SAMBUTAN

Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sewaktu menyertai Senaman Seni Malaysia.






Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Senam Seni di Dataran Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu pagi ini 18 Februari, mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat, golongan dewasa, belia dan kanak-kanak.

Bahkan ada yang datang secara berkeluarga, menjadikan suasana 'penjagaan kesihatan' berlangsung dalam suasana penghayatan seni dan mengembirakan, suatu trend baru yang amat positif dalam masyarakat, termasuk di Terengganu.


Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato'Haji Wan Ahamad Wan Muda dan isteri turut sama dengan kira-kira 300 peserta, termasuk kakitangan "Air Asia" dan "Fire Fly".

Senam seni itu diiringi dengan muzik ala zapin, taici,bollywood, poco-poco dan juga rentak muzik orang asli, menjadikan para peserta cukup terhibur.

Senam seni ini adalah satu pendekatan yang cukup baik untuk mendorong masyarakat bersenam dan menjaga kesihatan mereka di samping menghayati keindahan seni pelbagai bangsa di negara ini.

Senam Seni pernah dilancarkan di peringkat nasional pada tahun 2008.
Senam Seni Malaysia ialah senaman yang merangkumi semua tarian kaum termasuk etnik Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli.

Gerakan badan yang dilakukan termasuk aspek pemanasan, regangan, aktiviti kardiovaskular, penyejukan badan dan gerakan singkat. Senaman itu bertindak sebagai serampang dua mata iaitu menjaga kesihatan dan memulihara warisan budaya.

Objektif utama aktiviti itu ialah untuk membolehkan rakyat Malaysia lebih menyayangi dan mendekati seni tari dan lagu rakyat pelbagai kaum melalui elemen senaman.

Ia amat baik untuk mempromosikan amalan penjagaan kesihatan dan mengharmonikan masyarakat Malaysia melalui penyertaan pelbagai kaum di dalam aktiviti berkenaan.

Aktiviti fizikal berdasarkan seni dan tarian rakyat memberi makna besar kepada usaha pembangunan dan penghayatan seni budaya tempatan. Senam Seni Malaysia telah membuktikan kesenian tradisional rakyat boleh diguna pakai dalam apa jua perkara.

Modul Senam Seni Malaysia yang dihasilkan daripada gabungan pelbagai seni tari dan lagu rakyat pelbagai kaum di negara ini diadunkan menjadi elemen senaman selama 30 minit. Ia turut dihasilkan dalam bentuk video cakera padat (VCD).



TEGANUKITA