Halaman

10 February 2011

Semangat jawab soalan

Oleh: Suriati Ali



“Saya seronok belajar menggunakan e-Book dan lebih mengembirakan lagi apabila kelas kami iaitu Tahun Enam Terbilang terpilih sebagai kelas maya.

“Apabila guru menerangkan soalan dan menghuraikan jawapan di papan sesentuh, kami mudah faham dan lebih bersemangat untuk menjawab soalan,” kata Nor Iman Arba’eyah Yusoff, Pelajar Tahun Enam, Sekolah Kebangsaan Paya Bunga (SKPB), Kuala Terengganu.

Adik Arba’eyah berkata demikian ketika ditemui pemberita Teganukita ketika Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengadakan tinjauan perkembangan kelas maya di sekolah itu, semalam (9 Februari).

SKPB dan dua sekolah lagi iaitu SK Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu dan SK Telok Kalong, Kemaman dipilih sebagai sekolah perintis sebelum projek itu diperluaskan ke beberapa sekolah lain.

Muhammad Amirul Iwannudin Anang, 10, berkata dia mengakui mudah faham apabila guru mengajar menggunakan papan sesentuh kerana tulisannya yang besar dan menarik.

“Saya bersama-sama rakan sekelas pun suka mengaji al-Quran menggunakan e-Book dan papan sesentuh. Tidak perlu lagi membawa al-Quran kerana semuanya ada disediakan dalam e-Book,” katanya.

Ustaz SKPB, Wan Zamri Abdul Rahman, berkata pelajar hari ini khususnya di Terengganu cukup beruntung kerana pelbagai peralatan canggih di bekalkan kerajaan semata-mata ingin melihat anak didik terus cemerlang dan terbilang.

Katanya, konsep yang digunakan melalui kelas maya menampakkan perkembangan yang positif terutama berkaitan kedatangan pelajar ke sekolah, mempunyai semangat untuk menjawab soalan, tidak mengantuk ketika guru mengajar dan mudah memberi tumpuan.



“Saya percaya pendekatan menggunakan kelas maya bukan saja mampu meningkatkan peratusan markah dalam setiap peperiksaan malah menaikkan imej sekolah itu sendiri.

“Sebagai bukti, pelajar Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam di sekolah ini di mana kelas masing-masing dipilih menggunakan konsep kelas maya menunjukkan kemajuan positif dan peningkatan markah dalan peperiksaan talian (online) yang dijalankan,” katanya.

Menurutnya, kelas maya banyak keistimewaannya di mana pelajar tidak boleh cuai dan membuka aplikasi lain termasuk permainan komputer ketika guru mengajar.

“Apabila papan sesentuh dibuka guru, secara sendirinya, e-Book pelajar akan mempaparkan subjek yang diinginkan guru tersebut iaitu sama seperti yang dipaparkan di papan sesentuh.

“Saya percaya, kecanggihan seperti ini, dinanti-nantikan semua pelajar, secara tidak langsung menjadi pembakar semangat untuk terus cemerlang dalam akademik,” katanya.

TEGANUKITA